PELAKSANAAN akad nikah dalam talian atau melalui sidang video ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hanya akan dilaksana di Perlis sekiranya terdapat keperluan mendesak.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Dr Hazman Hassan berkata, sekiranya akad nikah dalam talian perlu dilaksanakan di negeri itu, pelaksanaannya mesti berpandukan irsyad fatwa daripada Jabatan Mufti Perlis.
Katanya, antara faktor pelaksanaannya masih belum diguna pakai di Perlis adalah berikutan situasi semasa penularan wabak Covid-19 di negeri itu yang masih berada di paras rendah atau sederhana.
“Pelaksanaan akad nikah melalui sidang video adalah perkara yang baik dan boleh mencegah perkara tidak baik antara pasangan bakal pengantin.
“Namun, melihatkan keadaan di Perlis yang masih dikategorikan sebagai zon hijau, kita masih mengguna pakai kaedah sedia ada dengan pernikahan terhad atau hanya dihadiri oleh enam individu iaitu jurunikah, wali, dua saksi bersama dua pengantin,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Semalam, Selangor mengikut jejak langkah Wilayah Persekutuan melaksanakan majlis akad nikah melalui sidang video ketika tempoh PKP.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Shahzihan Ahmad dalam kenyataan di Shah Alam memaklumkan kebenaran itu diberikan dengan syarat bakal pengantin sudah mendapat kelulusan khas daripada pihaknya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan