Khamis, 23 April 2020

Arab Saudi longgarkan perintah berkurung sepanjang Ramadan

tyrazalhe

 

Solat tarawih, tahajud di dua masjid diteruskan tanpa kehadiran jemaah

RIYADH – Arab Saudi mengumumkan rancangan untuk melonggarkan arahan perintah berkurung sepanjang bulan Ramadan.

Rancangan itu dikatakan akan menjadi kelegaan bagi kebanyakan penduduk di beberapa bandar yang tertakluk di bawah sekatan tegas, susulan usaha memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19.

Agensi berita negeri SPA melaporkan, kelonggaran perintah itu memberi lebih masa untuk orang ramai membeli barang keperluan di dalam kawasan kejiranan mereka.

Penduduk yang tinggal di wilayah atau bandar, di mana perintah berkurung 24 jam tidak dilaksanakan akan dibenarkan meninggalkan kediaman dari jam 9 pagi hingga 5 petang.

Sementara, penduduk di bandar bawah perintah berkurung 24 jam akan dibenarkan meninggalkan kediaman mereka dari jam 9 pagi hingga 5 petang, tetapi hanya untuk tujuan penting sahaja seperti rawatan perubatan, membeli barangan keperluan dan hanya dua orang dalam satu kenderaan.

Makkah dan Madinah antara yang terbabit dalam rancangan menarik balik perintah berkenaan sepanjang Ramadan. 

Pihak berkuasa Arab Saudi memutuskan untuk mengadakan solat tarawih dan tahajud di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, namun tetap menangguhkan kehadiran jemaah.

Hanya pegawai dalam ketua presiden dan kakitangan pembersihan sahaja akan dibenarkan untuk menghadiri solat berjemaah itu. – Agensi


Tiada ulasan: