Selasa, 21 April 2020

PKP fasa 3: Makin ramai dipenjara, denda kerana ingkar

ADMIN ISMAWEB

 

Hari ini 185 individu dihadapkan ke mahkamah di beberapa negeri

KUALA LUMPUR – Semakin ramai didakwa dan dihukum penjara serta denda maksimum kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Hari ini sejumlah 185 individu dihadapkan ke Mahkamah Majistret dan Sesyen di beberapa negeri atas kesalahan itu dengan pelbagai perbuatan yang mengingkari PKP dan bermacam-macam alasan diberi.

Di PAHANG, 14 individu didakwa di Mahkamah Majistret Raub.

Enam lelaki iaitu Lee Ah Nam, 53; Ong Kok Peng, 51; Thong Chee Hoong, 56; Abdul Rahim Sidik, 47; Muhammad Amirul Ashraf Abdullah, 20, dan seorang rakyat Myanmar, Win Hly, 36, didenda RM700 atau penjara 14 hari kerana melanggar PKP dengan keluar melombong emas di Hutan Simpan Kekal Tersang, Batu Talam di sini pada 12 tengah hari 16 April.

Lapan lagi lelaki berusia lingkungan 32 hingga 52 tahun masing-masing didenda RM600 atau penjara 10 hari selepas mengaku ingkar PKP dengan membuka pasar basah di tepi jalan sekitar Lot 285 Kampung Gali Tengah di sini pada 11.40 pagi semalam.

Di KEDAH, sejumlah 23 lelaki berumur lingkungan 18 hingga 41 tahun dipenjara tujuh hari dan didenda maksimum RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Sungai Petani kerana keluar melepak bersama rakan serta keluar dari tempat tinggal mereka sekitar daerah Kuala Muda pada 27 Mac hingga 13 April lepas.

Di mahkamah sama, seorang pengarah syarikat kilang kitar semula Ong Lin-Tjong, 39, dihukum penjara tujuh hari dan didenda RM10,000 kerana membenarkan dua pekerjanya bekerja tanpa kebenaran semasa pelaksanaan PKP.

Mahkamah memerintahkan Ong menjalani hukuman penjara itu mulai hari ini dan sekiranya gagal membayar denda, dia berdepan hukuman penjara enam bulan.

Ong didakwa membenarkan Muhamad Hanif Ishak, 23, dan Mohamad Izral Taib, 44, berhimpun dalam kawasan Kilang Privilege Industry Sdn Bhd di Kawasan Perusahaan Bakar Arang di sini, yang merupakan kawasan jangkitan bagi tujuan sosial, pada 11.50 malam 4 April lepas.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 serta dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Di TERENGGANU, sejumlah 27 lelaki didakwa di Mahkamah Kuala Terengganu.

Penganggur Ahmad Tarmizi Azman, 33, didenda RM5,000 atau penjara tiga bulan kerana mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota polis ketika sekatan jalan raya di Jalan Sultan Mahmud pada 5.30 petang Sabtu lepas.

Sejumlah 26 lelaki lagi, termasuk seorang orang kurang upaya (OKU) dan remaja berumur 17 tahun, mengaku melanggar arahan PKP.

Lelaki dengan kecacatan di tangan dan kaki kiri itu didenda RM500 atau penjara sebulan manakala tertuduh lain masing-masing didenda antara RM800 dan RM1,000 atau penjara sebulan.

Remaja terbabit pula dibenarkan ikat jamin RM800 dengan seorang penjamin dan mahkamah menetapkan 19 Mei untuk sebutan sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebelum menjatuhkan hukuman.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara Khamis hingga semalam (19 April) antara 9.25 malam hingga 1.45 pagi di sekitar Kuala Terengganu dan kebanyakan tertuduh memberi alasan melanggar PKP kerana keluar untuk mengaji al-Quran, menghantar tempahan burger dan membuang sampah.

Di PULAU PINANG, sejumlah 37 individu termasuk tiga wanita didenda RM1,000 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret Butterworth kerana melanggar PKP manakala seorang lagi didenda RM500 atau dua minggu penjara kerana berkumpul di hadapan sebuah pondok.

Dua lagi lelaki dijatuhi hukuman penjara sebulan dan mahkamah sama menetapkan 14 Mei dan 1 Jun untuk sebutan bagi kes tiga remaja berusia lingkugan 15 hingga 18 tahun yang turut didakwa melanggar PKP.

Antara kesalahan yang dilakukan tertuduh di sekitar daerah Seberang Perai Utara itu antara 18 April hingga semalam (19 April) ialah menikmati semangkuk mi di kedai makan, keluar dari rumah dengan memiliki air ketum, tidak mengendahkan arahan pihak berkuasa untuk beredar dari tempat berkumpul dan gagal memberikan alasan munasabah kepada pihak berkuasa semasa sekatan jalan raya.
Di SELANGOR, sejumlah 44 orang didakwa di dua mahkamah.

Di Mahkamah Majistret Sepang, 41 lelaki warga Myanmar berumur lingkungan 19 hingga 34 tahun yang terbabit dengan pesta air di Bandar Baru Salak Tinggi dikenakan denda maksimum RM1,000 atau penjara sebulan kerana ingkar PKP.

Kesemua tertuduh, yang merupakan pekerja kilang, didakwa berhimpun bagi maksud menjalankan aktiviti keagamaan iaitu pesta air Thingyan di dalam kawasan yang diisytiharkan sebagai kawasan jangkitan, iaitu Selangor.

Kesalahan dilakukan di kawasan asrama lelaki di sebuah kilang di sini antara 8.30 malam hingga 10 malam pada 12 April lepas.

Di Mahkamah Petaling Jaya, dua lelaki warga Indonesia iaitu Rudy Hartono Sahmenan, 34, dan Fauzi, 35, dihukum penjara tiga bulan kerana gagal memberikan keterangan memuaskan berkaitan tujuan mereka keluar di Plaza Tol Subang, Kelana Jaya pada 11 dan 4 April lepas.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh mereka ditangkap iaitu pada 11 dan 4 April manakala seorang lagi, Murzid Baharun, 29, didenda RM800 atau penjara tiga bulan kerana melakukan kesalahan sama di hadapan stesen minyak BHP, Jalan SS 12, Subang Jaya pada 12.05 tengah hari 15 April lepas.

Di KUALA LUMPUR, seramai 33 didakwa di tiga buah mahkamah di sini.

Di Mahkamah Ampang, empat lelaki termasuk tiga warganegara asing dari Mesir, Afghanistan dan Yaman yang berumur 18 hingga 35 tahun didenda RM800 hingga RM1,000 atau sebulan penjara kerana melakukan kesalahan sama.

P. Edward Gregory Anniah, Ahmed Mohamed Mahmoud Elsayed Sayed, Hisham Ahmed Qaid Al-Hagi, Zahibullah Rizai mengaku bersalah melakukan kesalahan tersebut di lokasi berasingan di Jalan Cheras Indah dan Taman Putra Sulaiman, di sini pada 6 dan 7 petang, 10 dan 14 April lepas.

Dua lelaki, Roshaizol Lajat,18, dan warga Pakistan Ubai Dullah Azizullah, 35, pula mengaku tidak bersalah melakukan kesalahan sama di Jalan Desa dan Jalan Tasik Tambahan di sini pada 2.30 petang dan 2.15 pagi pada 7 dan 12 April lepas, dan mahkamah menetapkan 29 Jun untuk sebutan kes mereka.

Di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, sejumlah 23 individu termasuk tiga wanita masing-masing didenda RM800 hingga RM2,000 atau penjara dua hingga tiga minggu bagi kesalahan ingkar PKP kerana berbual di taman permainan, lari dari sekatan jalan raya, berkumpul di kaki lima dan duduk di kerusi penumpang tanpa alasan munasabah, semasa fasa kedua dan ketiga.

Mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara 14 hari dan dua bulan ke atas dua lelaki selepas masing-masing gagal memberi alasan munasabah ketika ditahan di sekatan jalan.

Kesemua tertuduh yang berusia lingkungan 20 dan 41 tahun itu ditahan sekitar Kuala Lumpur sejak 2 April hingga semalam.

Di Mahkamah Majistret Selayang, dua peniaga iaitu Wan Zakaria Wan Deraman, 21, dan Mohamad Fakhrull Azim Mohd Zamri, 26, masing-masing dihukum penjara enam hari dan denda RM1,000 atau penjara tiga bulan kerana berhimpun di dalam kawasan tempat jangkitan tanpa alasan munasabah pada 15 April lepas. – Bernama


Tiada ulasan: