Sabtu, 25 April 2020

Siapa ketua pembangkang di Dewan Rakyat?

 
Malaysiakini
 
 
Pakatan Harapan (PH) yang merupakan blok pembangkang terbesar pada ketika ini, belum memutuskan siapa yang akan dilantik menjadi ketua pembangkang.

Pada masa ini, ada dua calon yang mungkin akan diangkat sebagai ketua pembangkang iaitu Presiden PKR, Anwar Ibrahim (Port Dickson) dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad (Langkawi).

Secara konvensional, jawatan itu akan dipegang pemimpin dari parti pembangkang terbesar. Dalam kes ini, parti berkenaan ialah DAP.

Namun, menurut Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail, DAP menyatakan mereka tidak berminat untuk jawatan tersebut semasa Majlis Presiden PH bermesyuarat sebelum ini.

"Kami sudah membincangkan perkara itu minggu lalu selepas Anwar memberitahu kami bahawa dia menerima surat daripada menteri di Jabatan Perdana Menteri.

"Saya menganggapnya dari Takiyuddin Hassan, yang bertanya mengenai kedudukan pemimpin pembangkang.

"Perkara itu dibincangkan berdasarkan dua persetujuan yang diterima bersama," kata Saifuddin kepada Malaysiakini.

Satu parti dua sisi

Jelas ahli parlimen Kulim - Bandar Baru itu, hal penting itu dibincangkan bagi mendapatkan persetujuan dalam kalangan ahli parlimen pembangkang.

Saifuddin turut mendedahkan beliau bertemu dengan Mahathir yang juga pengerusi Bersatu, dan Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal, baru-baru ini bagi pihak sekretariat PH untuk perbincangan awal mengenai perkara itu.

Katanya masih ada masa selama beberapa minggu lagi sebelum mereka membuat keputusan menjelang sidang Dewan Rakyat selama sehari pada 18 Mei ini.
Saifuddin Nasution Ismail
"Saya tidak ada jawapan. Kami belum sampai ke tahap itu," katanya ketika ditanya mengenai apakah nama Mahathir akan mengisi jawatan yang sebelum ini dipegang Anggota Parlimen Bera, Ismail Sabri Yaakob.

Sementara itu ketika dihubungi, Pengerusi DAP, Tan Kok Wai, mengesahkan bahawa partinya tidak akan memegang jawatan ketua pembangkang.

Selain hanya berlangsung sehari, sidangan Dewan Rakyat kali ini juga - buat pertama kalinya - akan menyaksikan ada sebuah parti politik akan duduk di dua sisi berasingan sekali gus.

Bersatu - yang menawan Putrajaya melalui Perikatan Nasional (PN) bersama BN dan PAS - mempunyai wakil di kedua-dua pihak iaitu kerajaan dan pembangkang.

Tempat wakil Bersatu akan ditentukan oleh pendirian mereka, sama ada menyokong Mahathir atau Muhyiddin Yassin.

Keputusan berdasarkan parti

Pada 24 Feb lalu, Bersatu menarik diri dari PH sementara Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri.

Ini membawa kepada kejatuhan kerajaan PH dan akhirnya Muhyiddin diangkat sebagai perdana menteri baru dengan sokongan sebahagian besar anggota parlimen parti berkenaan, dan semua wakil Umno, PAS dan Gabungan Parti Sarawak.

Sekumpulan kecil anggota parlimen yang dipercayai masih setia kepada Mahathir akan bergabung dengannya dengan duduk di bangku pembangkang, terutama anaknya, Mukhriz (Jerlun) dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar).

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub pula berkata partinya akan mematuhi konsensus PH untuk memilih pemimpin pembangkang.

Ditanya secara khusus apakah parti itu akan menerima Anwar atau Mahathir, Salahuddin bekata parti itu terbuka untuk membincangkannya.

Anwar dalam sesi temu ramah Consider This pada Isnin malam bagaimanapun memberikan jawapan samar-sama berhubung perkara itu

"Buat masa ini, saya ketuai pembangkang.

"Pakatan Harapan ada 92 wakil dan telah membuat keputusan berdasarkan parti yang masih ada iaitu DAP, PKR dan Amanah.

"Bagi PH, ia masih sama, sayalah ketua. Namun, kami akan terus bekerjasama dengan pemimpin dari parti pembangkang yang lain," katanya dipetik Astro Awani.

Tiada ulasan: