Sabtu, 25 April 2020

Tempuh perjalanan balik dari kampung ke rumah 1 hingga 3 Mei sahaja

Kumara Sabapatty
MGF16102019_SIDANG-MEDIA-JSJ_09
Huzir Mohamed 
 

KUALA LUMPUR – Orang ramai yang terkandas di kampung halaman dan mahu pulang ke kediaman masing-masing hanya dibenarkan melakukannya dalam tempoh tiga hari, iaitu pada 1 hingga 3 Mei ini sahaja.

Pengarah Jabatan Siastan Jenayah Bukit Aman, Komisioner Datuk Huzir Mohamed berkata, mereka yang layak boleh mengemukakan permohonan masing-masing menerusi dalam talian melalui aplikasi ‘Gerak Malaysia’ yang boleh dimuat turun daripada Google Playstore, Apple App Store dan Huawei App Gallery.

“Mereka yang layak boleh kemukakan permohonan mulai Ahad esok 26 April untuk membuat pergerakan antara negeri.

“Bagi yang membuat permohonan pada 26 April ini, mereka hendaklah mengemas kini permohonan untuk mengesahkan destinasi perjalanan anda dan pada 1 Mei boleh menyemak status permohonannya atas talian.

“Tempoh pergerakan antara negeri hanya dibenarkan antara 1 hingg 3 Mei ini sahaja dan setiap pengguna dikehendaki merancang perjalanan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan media awal hari ini.

Kata Huzir, semua kebenaran adalah melalui aplikasi Gerak Malaysia dan bagi mereka yang tidak mempunyai kemudahan aplikasi berkenaan, permohonan secra bertulis untuk kebenaran perjalanan boleh dibuat di Balai Polis berhampiran.

Bagaimanapun, keutamaan perjalanan hanya akan diberikan kepda pengguna aplikasi Gerak Malaysia, tambah beliau.

“Satu kenyataan media berhubung pendaftaran tatacara pendaftaran aplikasi Gerak Malaysia akan dikeluarkan hari ini diikuti sidang media khas pada 29 April ini mengenai pergerakan mengikut negeri bagi memastikan perjalanan mereka yang terlibat berjalan dengan lancar dan teratur,” tambah beliau.

SEmentara itu, Huzir memberitahu, individu yang menggunakan Lebuh Raya Utara Selatan diingatkan bahawa tiada sebarang kemudahan makanan disediakan di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R).

Menurutnya, kemudahan surau juga ditutup dan sebarang aktiviti bersolat secara berjemaah tidak dibenarkan di kawasan R&R, termasuk di mana-mana bangunan, kawasan lapang dan tempat letak kereta.

Justeru katanya, hanya kemudahan tandas awam sahaja disediakan kepada pengguna lebuh raya.

“Kawasan tempat letak kereta hanyalah digunakan untuk tujuan rehat dan pengguna tidak sesekali dibenarkan keluar dari kenderaan semasa dalam tempoh rehat kecuali dengan tujuan penggunan tandas awam.

“Manakala stesen minyak di sepanjang lebuh raya hanya akan beroperasi antara jam 6 pagi hingga 12 tengah malam dan pengguna dilarang melakukan sebarang aktiviti berkumpulan di dalam tempoh kebenaran perjalanan iaitu 1 hingga 3 Mei ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: