Selasa, 21 April 2020

Sekolah digesa ajar lebih banyak topik penyakit berjangkit

Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi 
Sarawak, Dr Annuar Rapaee, berkata mengajar generasi muda 
mengenai penyakit berjangkit dapat membantu mereka 
menangani maklumat palsu mengenainya.
 
PETALING JAYA: Bekas pegawai Kementerian Kesihatan dan pendidik menggesa kerajaan mempertimbangkan pengukuhan topik kesihatan dalam kurikulum sekolah bagi memastikan kesediaan generasi muda terhadap wabak seperti Covid-19.

Mereka mengakui pelajaran mengenai isu kesihatan sudah ada dalam kurikulum, tetapi topik mengenai penyakit berjangkit perlu diperluaskan supaya pelajar mengetahui bahaya penyakit dan cara bertindak balas terhadapnya.

Dr S Subramaniam yang pernah menjadi menteri kesihatan dari 2013 hingga 2018, berkata topik kesihatan dalam kurikulum disusun Kementerian Kesihatan bersama Kementerian Pendidikan.

Beliau berkata, mungkin sudah tiba masa memperluaskan topik berkaitan penyakit berjangkit dengan menekankan ancaman pandemik.

“Covid-19 boleh digunakan sebagai contoh.”

Satu laporan terbaru EdSurge Inc, sebuah syarikat teknologi pendidikan, menyatakan beberapa sekolah di Amerika Syarikat menyelaras kurikulum mereka dengan memasukkan isu berkaitan Covid-19.

Dr Mohd Ismail Merican, ketua pengarah kesihatan dari 2005 hingga 2011, menjangkakan krisis Covid-19 berlarutan untuk jangka panjang dan adalah baik bagi guru serta pelajar mendalami situasi itu.

Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Dr Annuar Rapaee, berkata kebanyakan rakyat Malaysia tidak memahami sepenuhnya cara penularan sesuatu virus dan mengajar generasi muda mengenai penyakit berjangkit dapat membantu mereka menangani maklumat palsu mengenainya.

Beliau mencadangkan topik kebersihan diri dipertingkatkan juga, khasnya di tadika.

Katanya, Malaysia perlu mencontohi Jepun dengan kebanyakan sekolahnya menyediakan banyak kemudahan mencuci tangan.

Annuar berkata, beberapa sekolah di Jepun mewajibkan pelajar dan guru memakai kasut seperti selipar bilik tidur ketika memasuki kelas.

Johan Ariffin Samad, bekas ketua pegawai eksekutif Institut Kajian Pembangunan Sabah, berkata memperbaiki kebersihan diri dan penjarakan sosial perlu dijadikan kebiasaan.

Beliau berkata, sekolah harus mengamalkan protokol sama ketika perhimpunan dan mendidik pelajar mengenai Covid-19 supaya mereka tahu cara menghadapi wabak lain pada masa depan.

“Kita akan berdepan banyak penyakit baru dan ada baiknya menekankan keperluan menambah baik kebersihan diri kepada pelajar.”

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan, Noor Azimah Abdul Rahim, berkata Covid-19 boleh menjadi topik perbincangan dalam kelas sains.

Tetapi, beliau meragui guru bersedia mengajar tentang virus baru itu kerana tidak banyak yang diketahui mengenainya dan pelajar mungkin lebih keliru.

“Akhirnya, ini semua mengenai kebersihan baik, bukannya sesuatu yang sangat sukar difahami.”

Tiada ulasan: