Khamis, 30 April 2020

Tiba masa keluarkan MyKad baru, miliki ciri canggih

Tiba masa keluarkan MyKad baru, miliki ciri canggih

Mykad sedia ada mudah diseleweng oleh pihak berkepentingan

BANGI – Sudah tiba masanya kerajaan mengeluarkan kad pengenalan (MyKad) baharu yang mempunyai ciri-ciri keselamatan lebih ketat serta canggih berbanding ketika ini yang mudah dipalsukan.

Ketua Media Muafakat, Haji Rashidi Haris berkata, secara kasarnya jenayah MyKad terbahagi kepada dua iaitu jenis pemalsuan yang membuat MyKad tiruan sama seperti sedia ada, bagaimanapun ciri-ciri keselamatannya tidak kuat.

Dakwanya, MyKad palsu jenis ini atau ‘duplicate identification‘ biasanya digunakan oleh agen rahsia antarabangsa untuk melakukan kerja penyamaran masuk ke pejabat penting kerajaan bagi memperolehi maklumat rahsia kerajaan, khususnya pejabat Menteri Pertahanan.

“Manakala, jenis kedua ialah MyKad yang diseleweng melalui sindiket yang melibatkan orang dalam. Jenis ini amat sukar dibuat pengecaman sama ada ia penduduk asal atau pendatang haram, disebabkan segala ciri-ciri keselamatannya sama sahaja dengan pemegang MyKad yang asli.

“Jika ada pun perbezaan, hanya pada nombor siri yang mungkin sama dengan nombor siri yang terdapat pada pemegang MyKad orang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Haji Rashidi bagaimanapun berkata, timbul persoalan adakah penyelewengan MyKad mempunyai kaitan dengan kes kemasukan pelancong asing terutamanya dari China dan India yang telah masuk ke dalam negara dan tidak keluar seperti yang direkod dalam statistik Laporan Ketua Audit Negara 2018.

Menurut laporan berkenaan, katanya, data ketibaan 79,799 warga China melalui Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs), didapati 76,258 (95.6 peratus) tidak mempunyai rekod tarikh keluar sepanjang 2016 hingga 2018.

“Justeru, tidak mustahil jika dikatakan sebahagian besarnya mungkin telah dapat sijil kelahiran dan MyKad melalui sindiket?,” dakwa beliau.

September tahun lalu, polis berjaya membongkar sindiket penjualan MyKad kepada warga China yang didalangi pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Kes itu terbongkar selepas pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membuat laporan polis berikutan permohonan pasport oleh seorang pemegang MyKad sah, namun pemohon didapati tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa Melayu dipercayai berlaku pada Mei tahun lalu.

Difahamkan, MyKad berkenaan dijual dengan anggaran harga RM100,000 hingga RM600,000.


Tiada ulasan: