Rabu, 29 April 2020

Mahkamah digesa pertimbang semua faktor sebelum hukum penjara pesalah PKP

MALAYSIAKINI
Malaysiakini
Badan Peguam Malaysia menggesa mahkamah supaya mempertimbangkan semua faktor yang menyebabkan kes ingkar perintah kawalan pergerakan (PKP).

Presiden Badan Peguam Salim Bashir berkata gesaan itu dibuat susulan laporan mengenai "hukuman berlebihan dan perbezaan sabitan hukuman" antara orang biasa dan individu berpengaruh.

"Kami mengambil maklum mengenai berbagai sabitan hukuman yang dijatuhkan mungkin sesuai dengan undang-undang, tetapi wewenang mahkamah untuk menjatuhkan hukuman wajar dilaksanakan secara bijaksana untuk menghindari keadilan daripada diperolok-olokkan.

"Badan Peguam Malaysia menggesa mahkamah untuk meringankan hukuman dengan penuh belas kasihan, terutama apabila kita tidak menangani kejadian jenayah keganasan," kata Salim dalam satu kenyataan.

Bagimanapun, gesaan Badan Peguam Malaysia ini tidak merujuk kepada mana-mana penghakiman mahkamah.

Dua didenda, ibu tunggal ke penjara

Terdahulu hari ini, dilaporkan seorang ibu tunggal telah memohon semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi mengenai sabitan hukuman penjara 30 hari yang dikenakan terhadapnya kerana melanggar PKP dua minggu lalu.

B Lisa Christina, ibu kepada seorang anak lelaki berusia enam tahun dilaporkan berkata dia didakwa bersama dua yang lain sehari sebelumnya atas kesalahan serupa.

Bagaimanapun, selepas mengaku bersalah pada 21 April lalu, ibu tunggal itu dijatuhkan hukuman penjara 30 hari sementara dua yang lain dihukum denda maksimum RM1,000.

Hari ini juga, Mahkamah Majistret Gerik dilaporkan mengenakan hukuman denda RM1,000 terhadap Timbalan Menteri Kesihatan Noor Azmi Ghazali dan exco Perak, Razman Zakaria atas kesalahan ingkar PKP.

Di bawah Seksyen 7(1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Kawasan Tempatan yang Dijangkiti) 2020, pesalah yang melanggar PKP dikenakan denda sehingga RM1,000, atau penjara hingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali.

Salim selanjutnya memetik Seksyen 25 Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang memberi kuasa budi bicara kepada Ketua Pengarah Kesihatan untuk mengenakan kompaun bagi sebarang kesalahan di bawah akta ini atau mana-mana peraturan yang dibuat di bawah akta berkenaan.

"Kami menggesa Pengarah Kesihatan untuk menggunakan budi bicara yang diberikan oleh undang-undang ini," kata Salim yang berhujah terhadap hukuman penjara bagi pesalah.

"Sementara melanggar PKP tidak boleh dipandang sambil lewa, menghantar pesalah PKP ke penjara adalah penawar yang lebih buruk daripada penyakit itu sendiri.

"Menjatuhkan sabitan hukuman penjara mungkin dapat mengirim pesan pencegahan kepada masyarakat, tetapi ini menambah masalah penularan Covid-19 di mahkamah dan penjara," tegasnya.

11 penjara khas 

Pada 17 April, FMT melaporkan Peguam Negara, Idris Harun telah menarik budi bicara yang diberikan kepada ketua pengarah kesihatan untuk mengenakan kompaun kepada pesalah PKP.

Idris berkata pengarah pendakwaan negeri boleh dirujuk untuk mendapatkan kebenaran
mengeluarkan kompaun, berdasarkan kes demi kes.

Sejak itu, kerajaan telah mewartakan 11 penjara khas untuk pesalah PKP dan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob pada hari Sabtu memaklumkan 58 orang telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah kerana melanggar PKP telah dihantar ke penjara sementara setakat ini.

Penjara sementara yang menggunakan akademi di bawah Jabatan Penjara, mula beroperasi pada 23 April.

Kerajaan pada mulanya mengumumkan terdapat 13 penjara sementara tetapi kemudian mengubah jumlahnya menjadi 11 penjara.

Sebelum ini, mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara tetapi Jabatan Penjara mengadu ini menambah masalah kesesakan di penjara dan dikhuatiri dapat mewujudkan penularan kluster baru wabak Covid-19 kerana jarak sosial sukar diamalkan di pusat tahanan.

Jurucakap Jabatan Penjara sebelum ini memberitahu Malaysiakini bahawa pada masa ini terdapat 73,000 penghuni yang diletakkan di tempat yang boleh menampung 52,000 tahanan.

Tiada ulasan: