Sabtu, 25 April 2020

Jurugambar, perancang perkahwinan ramal putus pendapatan hingga hujung tahun


Sebelum bermulanya perintah kawalan pergerakan (PKP), Muhammad Ridho Che Juhairi menganggap kerjaya sebagai seorang jurugambar perkahwinan adalah satu keputusan terbaik yang pernah dibuatnya.

Bagaimanapun, kini dia mempunyai keraguan atas kerjayanya setelah mendapati semakin banyak cabaran untuk menjana pendapatan lebih-lebih lagi dengan pandemik Covid-19 ketika ini.

“Letih berfikir hari demi hari macam mana mahu teruskan kerjaya ini.

"Saya punya pendapatan (berdasarkan) ada tempahan ada duitlah, (kalau) tiada tempahan tiada duit,” katanya kepada Malaysiakini.

Muhammad Ridho, yang telah berkecimpung dalam kerjaya jurugambar perkahwinan sejak sembilan tahun lalu, menjelaskan ramai pelanggannya turut telah membatalkan tempahan sebelum ini.

“Majlis perkahwinan untuk bulan Mei selepas hari raya, hampir 10 tempahan telah dibatalkan kerana halangan berhimpun (yang mungkin berlangsung) selama enam hingga 12 bulan.

“Ramai yang membuat tempahan menjadi panik dan kesannya saya rugi dan tidak mempunyai pendapatan pada bulan-bulan yang akan datang,” katanya.


Memang terkesan teruk

Jelasnya lagi, kerugian sebulan yang dianggarkan turut mencecah sehingga RM6,000.

“(Kerugiaan sekarang) sangat mendadak.

“Perasaan saya hanya tuhan yang tahu. Dalam hati (berfikir) macam mana nak cari pendapatan, sudahlah berharap dengan tempahan foto perkahwinan sahaja, Allah... mengucap saya,” katanya lagi.

PKP yang dilaksanakan oleh kerajaan sejak 18 Mac lalu bagi membendung penularan Covid-19-kini sudah memasuki fasa keempat dengan lanjutan dua minggu lagi sehingga 12 Mei.

Sementara itu, seorang lagi jurugambar perkahwinan yang hanya mahu dikenali sebagai Basyir, mendedahkan bahawa ramai rakan sekerjayanya turut terkesan susulan PKP.

“Ramai (jurugambar perkahwinan) memang terkesan teruk. Lagi-lagi yang sepenuh masa.

“Jurugambar perkahwinan sekarang sudah mula cari bisnes lain (untuk sara hidup) sebab dijangkakan tiada tempahan sehingga hujung tahun,” katanya yang mempunyai syarikat tempahan gambar perkahwinan TheWedlite.

Katanya lagi, lebih menyukarkan keadaan adalah ketika ramai pelanggan yang telah menempah sebelum ini memohon untuk mendapatkan wang bayaran kembali.

“Pelanggan minta wang bayaran kembali, saya terpaksa bayar.

“Saya harap tiada pelanggan yang meminta, sekurangnya (pertimbangkan) untuk menunda majlis juga, sudah cukup bagus,” katanya ketika dihubungi

Pelamin anganku musnah

"Pernah dengar lagu pelamin anganku musnah? Begitulah situasi saya sekarang," kata seorang pengusaha perancang perkahwinan.

Pengusaha perkahwinan, berpangkalan di Terengganu – yang tidak mahu dinamakan - berkata bahawa semua impian untuk membangunkan syarikat perkahwinannya itu lenyap begitu sahaja.

“Saya ingat hendak membangunkan syarikat, perbaiki reka bentuk pelamin, membeli beberapa khemah menarik tetapi semuanya musnah sebab rugi yang besar.

“Sekarang ini, saya terpaksa fikir dan cari kerja lain untuk menampung wang bayar balik deposit pelanggan,” katanya lagi.


Jelas perancang perkahwinan tersebut, dia tidak menerima pelanggan lagi kerana rata-rata orang awam masih gusar akan pelanjutan PKP dan nasihat KKM untuk tidak mengadakan majlis besar-besaran untuk tempoh setahun.

“Tak ramai pelanggan, kerana mereka (orang ramai) masih was-was dengan lanjutan PKP lepas itu tak boleh buat majlis perkahwinan.

“Selalu kalau dah bulan puasa macam ini, kami dah terima banyak tempahan kerana kalau raya, ramai akan kahwin,” katanya yang turut menambah anggaran kerugian yang dialami mencecah RM 10,000 sebulan.

Terdahulu, media melaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menggalakkan perhimpunan secara besar-besaran bagi tempoh enam bulan hingga setahun susulan pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, amalan penjarakan sosial dalam kalangan masyarakat perlu terus dilaksanakan meskipun PKP tamat kelak.

Tiada ulasan: