Meskipun Jabatan Kebajikan Masyarakat mendakwa hampir 10 peratus daripada jumlah RM100 dipotong untuk membayar kos pembungkusan dan pengangkutan, ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil menyifatkannya sebagai tidak wajar.
“Saya menerima 250 bungkus makanan dan masing-masing bernilai sekitar RM85. Saya tidak diberitahu apa yang berlaku dengan baki nilai itu.
“Saya diberitahu oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pembungkusan dan pengangkutan menjadikannya RM85 dan bukan RM100,” katanya seperti dipetik oleh The Malaysian Insight.
Katanya, jika RM15 diambil daripada setiap bungkusan, maka ia menelan belanja sebanyak RM3.3 juta.
Selain Fahmi, ahli parlimen pembangkang yang lain seperti Maria Chin Abdullah dan P Prabakaran berkata bahawa pengagihan makanan tersebut dilakukan dengan tidak telus serta mengelirukan.
“Tidak begitu telus pada masa ini. Mereka harus memberi laporan berapa bungkusan makanan RM50 dan RM100 yang diberikan.
“Jawapannya mesti daripada menteri bertugas (Rina Harun). Dia harus menjawab dan menjelaskan apa yang ada di dalam bungkusan RM50 dan apa yang ada di dalam bungkusan RM100, bukan menteri pertahanan,” kata Maria yang merupakan ahli Parlimen Petaling Jaya.
“Setakat ini saya menerima ini dan semua telah diedarkan. Tidak pasti bila saya akan menerima baki agihan dan bertanya-tanya mengapa mereka tidak dapat mengagihkan 1,000 bungkusan sekali gus,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob menafikan dakwaan kerajaan membekalkan bakul makanan yang tidak bernilai RM100 seperti dijanjikan.
Sebaliknya, kata beliau, bantuan itu adalah daripada NGO yang menghantarnya ke JKM untuk diagihkan.
Ia susulan wakil rakyat Rasah Cha Kee Chin mendakwa bahawa 150 bakul makanan yang diterima oleh pasukannya untuk diedarkan daripada kerajaan, hanya berharga RM35 setiap satu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan