CENTHRA
CENTHRA desak guna tekanan perundangan selesai isu Rohingya
DALAM isu etnik Rohingya ini, CENTHRA berpendirian bahawa kedaulatan negara, “territorial integrity”
dan kebajikan rakyat Malaysia perlu diutamakan, di samping tidak
melupakan tanggungjawab insaniah terhadap golongan yang memerlukan
termasuk kalangan pelarian dalam kapasiti kemampuan negara;
2. CENTHRA menegaskan bahawa etnik
Rohingya dan semua golongan pelarian perlu menghormati undang-undang
Malaysia, masyarakat, budaya, agama dan nilai-nilai serta peraturan di
negara ini;
3. Malaysia seperti negara lain sedang
berdepan dengan pandemik COVID-19 yang menuntut sumber yang ada difokus
kepada rakyat sendiri. Sementara kita bersimpati dengan kaum Rohingya
dan lain-lain golongan pelarian, pertimbangan pihak kerajaan dalam
menyalurkan bantuan menurut keutamaan kepada rakyat Malaysia hendaklah
dihormati. Fokus menyelamatkan nyawa setiap rakyat Malaysia, di samping
mengelakkan jangkitan daripada merebak ke golongan bukan warganegara
merupakan pendekatan bersepadu demi memastikan COVID-19 dapat dihapuskan
sepenuhnya dan negara kita dapat berfungsi sepenuhnya dalam jangka
waktu yang munasabah;
4. Etnik Rohingya yang berstatus Orang
Tanpa Kewarganegaraan (OTK) tidak boleh diberikan kewarganegaraan
Malaysia. Malah, mereka juga hendak pulang ke negara asal tetapi Akta
Kewarganegaraan 1982 Myanmar telah membatalkan kerakyatan Rohingya.
Selain itu, bukti serta penilaian ramai pakar hak asasi manusia
antarabangsa telah menegaskan mereka juga berdepan dengan genosid –
pembunuhan dan penghapusan etnik pada skala besar-besara di kampung
halaman mereka;
5. Kita perlu merujuk kepada
undang-undang antarabangsa – yang terkini ialah kegagalan Myanmar
mematuhi keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), The Hague
mengenai “Provisional Measures” bertarikh 23 Januari 2020 yg
menghendaki Myanmar menghentikan segala bentuk kekejaman dan kezaliman
terhadap etnik Rohingya, termasuk memastikan mereka dapat pulang ke
kampung halaman dengan selamat. Ini tidak dilakukan. Kezaliman rejim
Myanmar merupakan punca utama Rohingya terpaksa melarikan diri dan
meninggalkan kampung halaman;
6. Kita sedar bahawa di sebalik isu
pelarian Rohingya, ada juga dalang mengambil kesempatan melakukan
jenayah pemerdagangan manusia (human trafficking), serta
kewujudan militan pemisah ARSA yang berpotensi mengancam keselamatan
negara. Unsur-unsur ini tidak boleh dibiarkan dan pihak keselamatan
negara perlu diberikan ruang menangani ancaman tersebut dengan wajar dan
saksama.
7. Kita memperjuangkan hak asasi manusia
etnik Rohingya menurut mekanisme perundangan hak asasi manusia
antarabangsa – CENTHRA tegas bahawa bantuan kemanusiaan adalah penting
tetapi bukan penyelesaian tuntas dan jangka panjang. Pada 2017 kumpulan
peguam CENTHRA telah bersama-sama beberapa organisasi masyarakat sivil
antarabangsa menjalankan Tribunal Awam Tetap (PPT) mengenai genosid
terhadap Rohingya dan kaum lain, di Universiti Queen Mary, London dan
Universiti Malaya, Kuala Lumpur untuk menekan kerajaan Myanmar
menghentikan pembunuhan, pengusiran dan kekejaman terhadap Rohingya dan
bagi memastikan mereka dapat hidup di negara sendiri dengan aman damai.
PPT telah mencetuskan inisiatif antarabangsa bagi mengheret Myanmar ke
muka pengadilan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang telah pun
memulakan penyiasatan terhadap kekejaman dan tindakan genosid Myanmar;
8. Sehingga ke hari ini, CENTHRA kekal
konsisten mendesak supaya masyarakat antarabangsa menggunakan tekanan
undang-undang bagi mencari penyelesaian terhadap masalah pelarian
Rohingya; Kes yang dibawa negara The Gambia terhadap Myanmar di ICJ
perlu diperkukuh dengan intervensi negara-negara yang menerima
kebanjiran pelarian Rohingya seperti Bangladesh dan Malaysia. Tindakan
melalui bantuan kemanusiaan bersifat jangka pendek dan tidak
menyelesaikan masalah kebanjiran pelarian. Kita perlu menekan rejim
Myanmar yang menjadi punca utama kebanjiran etnik Rohingya di rantau
ini. Tindakan ini tidak popular, mengambil masa tetapi lebih mapan dan
strategik;
9. Selain itu, wujud juga di kalangan
segelintir NGO di Malaysia yang menangguk di air keruh, menggunakan
alasan kemanusiaan untuk mengumpul dana demi Rohingya tanpa
akauntabiliti jelas.
Hal ini perlu diberi perhatian pihak berkuasa;
pembaziran serta penyelewengan yang berlaku perlu dihentikan segera.
Sebaliknya sumber yang ada boleh digunakan untuk tujuan tindakan
perundangan antarabangsa yng lebih strategik dalam menekan kerajaan
Myanmar agar menghormati hak Rohingya untuk hidup sebagai warganegara
sah;
10. CENTHRA juga menyeru segelintir
rakyat Malaysia yang menghina kaum Rohingya supaya menghentikan
perbuatan tersebut. Kita tidak seharusnya menjadikan tindakan salah
segelintir Rohingya dan lain-lain OTK sebagai asas untuk menyamaratakan
penghinaan terhadap golongan malang yang berdepan kezaliman dan
pembunuhan sekiranya mereka pulang. Khususnya di bulan Ramadan yang
mulia ini, kita perlu memelihara ibadah puasa kita dari kata-kata nista,
perbuatan serta kebencian di dalam hati terhadap saudara seagama dan
seinsan di kalangan kita.
* Pusat Penyelidikan & Advokasi Hak Asasi Manusia
Centre for Human Rights Research & Advocacy (CENTHRA)
Centre for Human Rights Research & Advocacy (CENTHRA)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan