'Kami mohon maaf kepada kerajaan, rakyat Malaysia'
Oleh Mohd Iskandar Ibrahim
Sebahagian pelarian Rohingya di Malaysia menerima bantuan makanan.
KUALA
LUMPUR: Gabungan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan pelarian Rohingya
memohon maaf kepada kerajaan dan rakyat Malaysia di atas kenyataan
tidak bertanggungjawab seorang individu daripada etnik terbabit.
Dalam
kenyataan bersama yang ditandatangani 17 NGO terbabit menjelaskan,
kenyataan dikeluarkan Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik
Rohingya Myanmar Malaysia (MERHROM), Zafar Ahmad Abdul Ghani itu
menimbulkan salah faham dan menyebabkan wujudnya sentimen negatif
terhadap pelarian Rohingya di Malaysia.
"Kami
pelarian Rohingya tidak pernah melantik Zafar Ahmad sebagai presiden
kami, beliau bukan pemimpin kami dan sebenarnya kami tiada pemimpin di
Malaysia. Beliau tiada hak untuk mengeluarkan kenyataan mewakili kami.
"Kami
mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan beliau namun kami tidak mempunyai
kuasa untuk menghalang beliau daripada berbuat demikian," menurut
kenyataan itu.
Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (MERHROM), Zafar Ahmad Abdul Ghani.Kenyataan
itu turut menjelaskan pihak berkuasa diminta mengambil tindakan tegas
terhadap Zafar Ahmad berdasarkan undang-undang negara ini.
Katanya,
pelarian Rohingya di Malaysia bimbang dengan kenyataan dikeluarkan
Zafar Ahmad hanya akan menimbulkan sentimen negatif terhadap etnik
berkenaan.
"Kami bersyukur dan berterima kasih kepada
kerajaan Malaysia dan semua rakyatnya kerana membenarkan kami tinggal di
negara ini buat sementara waktu sebelum dapat pulang ke negara asal
atau ditempatkan di negara ketiga yang lain," katanya.
Zafar
Ahmad sebelum ini didakwa mengeluarkan kenyataan menghina rakyat
Malaysia, menuntut hak kerakyatan penuh dan mempertikaikan tindakan
pihak berkuasa menghalang kapal membawa pelarian etnik itu daripada
mendarat di negara ini.
Bagaimanapun, beliau menafikan
pernah mengeluarkan kenyataan seperti itu dan menyifatkannya sebagai
tuduhan palsu selain menafikan beliau melanggar Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP).
Malaysia kini sedang melaksanakan PKP sejak 18 Mac lalu bagi membendung penularan COVID-19.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan