Majlis
Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor bersetuju meluluskan cadangan
pemberian bantuan kepada masyarakat Orang Asli di negeri itu sepanjang
tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ahli Majlisnya, Hee Loy Sian berkata, bantuan tersebut bertujuan
meringankan beban kehidupan harian yang dihadapi golongan tersebut.
Menurutnya, bantuan tersebut akan memberi manfaat langsung kepada
seramai 22,992 orang masyarakat asli dengan peruntukan kewangan sebanyak
RM297,050
“Bantuan ini berbentuk barangan keperluan asas harian seperti beras,
tepung, gula, susu, minyak masak dan sebagainya dengan jumlah sebanyak
RM50 satu ketua isi rumah (KIR).
“Jumlah ketua isi rumah yang terlibat seramai 5,941 orang yang
merangkumi kesemua 74 kampung orang asli di Negeri Selangor,” katanya
dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Negeri Selangor antara kerajaan negeri terawal mengumumkan
Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Fasa Pertama pada 20 Mac, yang
mengambil langkah proaktif membantu rakyat terjejas akibat pelaksanaan
PKP.
Sementara itu, Loy Sian berkata, setelah pengumuman Kerajaan Pusat
untuk melanjutkan tempoh PKP kepada 14 April, Selangor sekali lagi
mendahului langkah semua kerajaan negeri bagi mengumumkan Pakej
Rangsangan Selangor Prihatin Fasa kedua pada 1 April.
Loy Sian yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar,
Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna, Sains Teknologi Dan Inovasi,
berkata, peruntukan terbabit akan disalurkan kepada Pejabat Tanah dan
Daerah yang terlibat
Jelasnya, badan tersebut akan bertindak sebagai agensi pelaksana
dengan kerjasama Pejabat DUN atau Penyelaras DUN, Jabatan Kemajuan Orang
Asli (JAKOA) Negeri Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri
Selangor.
“Saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Orang Asli Negeri
Selangor percaya dan yakin bantuan ini sedikit sebanyak akan dapat
membantu meringankan beban kehidupan harian masyarakat ini di negeri
ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan