Jumaat, 24 April 2020

Kaji semula salur peruntukan Covid-19 kepada penyelaras DUN Selangor

Nizam Zain
MGF23042020_ADUN-SELANGOR-PEMBANGKANG-PERTEMUAN-MENTERI-WILAYAH09
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar merangkap Ketua Pembangkang, Rizan Ismail bercakap kepada media selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Wilayah, Tan Sri Annuar Musa pada hari ke 36 Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung wabak Covid-19 di Menara Seri Wilayah, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI
 

PUTRAJAYA – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari perlu mengkaji semula pemberian peruntukan khas Covid-19 kepada penyelaras kawasan pembangkang yang dilantik dalam kalangan pemimpin politik Pakatan Harapan (PH).

Ketua Pembangkang, Rizam Ismail berkata, sudah sampai masanya Amirudin mengikut jejak langkah Kerajaan Persekutuan yang menyalurkan peruntukan khas Covid-19 kepada semua kerajaan negeri tanpa mengira perbezaan fahaman politik.

“Besar harapan kami agar Menteri Besar Selangor dapat menyalurkan satu peruntukan khusus kepada wakil-wakil rakyat pembangkang di Selangor sebagaimana Kerajaan Persekutuan memberi RM10juta kepada semua negeri di dalam negara kita untuk bantuan Covid-19 ini.

“Kita sehingga kini masih menanti satu perutukan khusus daripada Menteri Besar Selangor kepada semua ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Selangor tanpa seorang pun tercicir,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Terdahulu, Rizam bersama tiga lagi ADUN Barisan Nasional (BN) iaitu Datuk Mohd Imran Tamrin (Sungai Panjang), Datuk Rosni Sohar (Hulu Bernam) dan Zakaria Hanafi (Semenyih) mengadakan pertemuan dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa di Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP).

Sebelum ini, tular di media sosial surat pekeliling daripada pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor bahawa sembilan ADUN pembangkang dikecualikan daripada mendapat peruntukan khas sehingga RM30,000.

Sebaliknya, peruntukan untuk kawasan pembangkang akan diserahkan kepada penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dilantik dalam kalangan pemimpin politik PH.

Rizam juga mengesahkan bahawa walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa Ketiga namun wakil rakyat pembangkang masih tidak dilibatkan dalam usaha membantu rakyat berdepan dengan wabak Covid-19.

“Saya melihat mereka menyusun mengikut cara mereka. Setakat ini kerajaan negeri hanya berurusan dengan pengerusi-pengerusi MPKK. Kami tidak dilibatkan sama sekali sebagai wakil rakyat pembangkang di kawasan masing-masing,” katanya.

Lebih dikesali ketika rakyat bergelut untuk mendapatkan bekalan keperluan dan hilang punca pendapatan, orang ramai masih tidak tahu kewujudan penyelaras kawasan yang diberikan peruntukan Covid-19.

“Oleh kerana itu, wakil rakyat pembangkang terpaksa selain daripada peruntukan yang mereka ada mereka terpaksa keluarkan juga duit kocek sendiri memandangkan rakyat hari ini kebanyakannya yang dia tahu ialah wakil rakyat, dia tak tahu ada penyelaras DUN dan sebagainya.

“Mereka hanya tahu tempat pergantungan rakyat itu adalah wakil rakyat sebab itu kami kamu Menteri Besar memberikan peruntukan khas kepada kami untuk membantu masyarakat, lebih-lebih lagi untuk menghadapi Ramadan dan Syawal akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: