Selasa, 21 April 2020

Mahal dan terhad, Orang Asli Mexico pilih anyam topeng muka dari daun kelapa sawit

Najmi Syahiran Mamat, Agensi
Mahal dan terhad, Orang Asli Mexico pilih anyam topeng muka dari daun kelapa sawit
Komuniti itu sebelum ini dipercayai turut memberi tumpuan dalam penghasilan produk kraftangan lain seperti tikar dan topi. - Gambar Facebook@INTERNATIONAL INDIGENOUS YOUTH COUNCIL
 
 
MEXICO: Meskipun sumber terhad dan harga yang tidak berpatutan, itu tidak menghalang sekumpulan komuniti Orang Asli di Mexico menghasilkan topeng muka sendiri demi melindungi diri dari jangkitan COVID-19.

Menggunakan kaedah anyaman, topeng muka kraftangan itu dihasilkan daripada daun kelapa sawit yang merupakan sejenis tumbuhan asli di daerah Oaxaca.

Menurut seorang pengusaha kraftangan dikenali Juana Lopez, pembuatan topeng muka menggunakan daun itu adalah lebih murah berbanding topeng muka perubatan.

“Topeng ini lebih mudah kerana ia boleh dibasuh dan digunakan semula.
 
“Ia lebih cepat dan murah kerana topeng muka sangat mahal untuk dibeli ketika krisis (COVID-19) ini,” katanya seperti dipetik dari berita Al-Jazeera.

Difahamkan, masyarakat yang juga dikenali sebagai komuniti Mixtec itu turut menghasilkan sejumlah 5,000 topeng muka untuk didermakan kepada kumpulan Orang Asli di seluruh negara.
 
Komuniti itu sebelum ini turut memberi tumpuan dalam penghasilan produk kraftangan lain seperti tikar dan topi.

Mexico sebelum ini mengisytiharkan darurat selama sebulan bermula 30 Mac lalu dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19.

Negara itu, sehingga kini, mencatatkan lebih 8,000 kes positif dengan 712 kes kematian dilaporkan. 
 
 

Tiada ulasan: