Rabu, 15 April 2020

Ramai pemandu belum dapat bantuan tunai, kata kumpulan teksi

Pemandu teksi antara golongan terjejas akibat tiada pelanggan 
susulan pelaksanaan PKP untuk membendung penularan Covid-19.
 
PETALING JAYA: Sebuah persatuan pemandu teksi merayu kerajaan memperluaskan pemberian Bantuan Prihatin Nasional (BPN) kepada pemandu teksi yang tidak disenaraikan secara rasmi sebagai penerima.

Presiden Gabungan Teksi SeMalaysia, Kamaruddin Mohd Hussain berkata, beliau menerima banyak aduan daripada pemandu teksi yang belum mendapat bantuan kewangan kerajaan.

Katanya, mereka kecewa Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) tidak menyenaraikan mereka sebagai penerima hanya kerana mereka belum memperbaharui kad pemandu.

Beliau berkata, pengadu terbabit masih memandu teksi kerana lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) dan permit mereka masih sah.
“Ia adalah tanggungjawab Apad untuk memberitahu semua pemandu memperbaharui kad pemandu mereka sebelum menyerahkan senarai penerima kepada Kementerian Pengangkutan dan Kewangan.”
“Kami berharap kerajaan akan mempertimbangkan untuk membantu kami.”

Kamaruddin berkata, Apad menganggap pemandu yang tidak memperbaharui kad mereka sebagai tidak aktif dan ini menyebabkan ramai pemandu yang memiliki lesen PSV serta permit sah terkilan.

Katanya, ramai pemandu teksi memutuskan untuk tidak memperbaharui kad mereka kerana kecewa dengan kegagalan kerajaan terdahulu menguatkuasakan peraturan ketat ke atas perkhidmatan
e-hailing.

Beliau berkata, kebanyakan pemandu tidak mempunyai kemahiran lain kecuali memandu untuk membantu mereka meraih pendapatan ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Kerajaan menganggap teksi sebagai perkhidmatan asas dan mengecualikan sektor itu daripada sekatan PKP, tetapi Kamaruddin berkata, kebanyakan masa pemandu teksi tidak mempunyai pelanggan kerana rakyat tidak keluar rumah.

Beliau sebelum ini menggesa Putrajaya mencontohi Singapura yang mengumumkan program berjumlah S$77 juta pada Februari lalu untuk membantu pemandu teksi dan kereta sewa persendirian terjejas akibat Covid-19.

Sebanyak S$73 juta daripada jumlah itu diperuntukkan bagi dana bantuan khas untuk membantu pemandu teksi dan kereta sewa persendirian sepenuh masa yang aktif menanggung kos perniagaan.

Semalam, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz dilaporkan berkata, lebih 6 juta rakyat sudah menerima bayaran BPN di bawah pakej rangsangan ekonomi setakat 12 April lalu.

Katanya, puluhan ribu pemandu teksi, pemandu pelancong dan penunggang beca turut menerima bantuan tunai RM600 yang dijanjikan kepada mereka.

Tiada ulasan: