SEORANG lelaki warga Indonesia patah kedua-dua belah kaki selain cedera dibeberapa bahagian badan akibat diserang sekumpulan gajah liar dalam kejadian di Ladang Sungai Sayong di Kahang pada 7.30 pagi semalam.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Johor, Salman Saaban berkata, pihaknya menerima laporan kejadian 10 pagi sebelum sepasukan anggota Perhilitan Kluang dikejarkan ke tempat kejadian.
Katanya, hasil maklumat dan siasatan mendapati kejadian berlaku ketika Nandang Sunarya,49, sedang membuka pintu pagar ladang untuk bekerja tanpa menyedari kehadiran beberapa ekor gajah liar dibelakangnya.
“Sebaik sahaja pintu pagar itu dibuka, kumpulan gajah berkenaan secara tiba-tiba menyerbu masuk ke dalam ladang dan menyerang mangsa menyebabkannya tidak sempat mengelak rempuhan binatang berkenaan.
“Akibat kejadian itu, mangsa cedera di kedua-dua belah kaki disyaki patah selain terdapat kecederaan di bahagian luaran badan mangsa, muka mangsa juga lebam dan lain-lain kecederaan dalaman tidak dapat dipastikan,”katanya melalui kenyataan kepada media hari ini.
Menurut Salman, mangsa dijumpai oleh rakan sekerjanya pada 8 pagi sebelum dirujuk ke Hospital Kluang untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan lanjut.
“Siasatan juga mendapati ladang tersebut mempunyai sistem pagar elektrik gajah, bagaimana pun, kawasan ladang berkenaan juga adalah kawasan laluan utama kumpulan gajah di Taman Negeri yang dianggarkan berjumlah antara 40 hingga 50 ekor.
“Ini adalah kejadian pertama manusia diserang gajah di Johor pada tahun ini,” katanya.
Salman berkata, pada tahun lalu hanya terdapat dua kes gajah menyerang manusia di Johor dengan merekodkan satu kematian di kebun sayur FELCRA Batu 22, Jln. Kluang -Jemaluang dan satu kecederaan di Felda Nitar 2, Mersing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan