Jumaat, 3 April 2020

Sabah hadkan masa operasi kedai tayar, bengkel

Yun Mikail
 
 

KEDAI tayar serta bengkel di Sabah hanya dibenarkan beroperasi antara 8 pagi hingga 2 petang pada setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, hanya sebilangan kedai tayar dan bengkel berdaftar di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) sahaja dibenarkan beroperasi.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong berkata kebenaran akan ditentukan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di daerah masing-masing.

“Selain itu, kedai haiwan peliharaan juga kini dibenarkan beroperasi tiga kali seminggu iaitu Isnin, Rabu dan Jumaat.

“Pemilik premis boleh membuka perniagaan bermula 8 pagi hingga 2 petang namun jumlah kedai dibenarkan beroperasi tertakluk kepada PBT setiap daerah,” katanya melalui kenyataan media di Kota Kinabalu.

Menurutnya, semua langkah berkenaan diambil menerusi keputusan Mesyuarat Sabah Covid-19 Command Centre, kelmarin.

Dalam pada itu, Safar memaklumkan kerajaan negeri turut memutuskan tiada sebarang penganjuran pasar tani FAMA di seluruh negeri sepanjang tempoh PKP.

Dalam kenyataan sama, beliau menyatakan penutupan operasi ladang serta kilang kelapa sawit membabitkan tiga daerah di negeri ini dilanjutkan hingga 14 April hadapan.

“Tiga daerah berkenaan adalah Tawau, Lahad Datu dan Kinabatangan. Kerajaan negeri juga memutuskan untuk menutup operasi ladang dan kilang kelapa sawit di tiga lagi daerah seperti Kalabakan, Semporna dan Kunak berkuatkuasa bagi tempoh sama.

“Penutupan operasi ini tertakluk di bawah peruntukan Akta 342 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya.

Tiada ulasan: