Pertimbangkan juga skim Rukun Tetangga bantu pihak berkuasa
BANGI
– Sudah tiba masanya kerajaan bertegas atau lebih berkeras mengetatkan
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam menangani pandemik COVID-19 di
negara ini.
Pensyarah Kanan Sains Politik, Universiti
Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abdul Muis berkata, ramai rakyat yang
masih berdegil dan keras kepala apabila melangggar arahan PKP, meskipun
sedar akan bahaya perbuatan mereka.
Katanya, tindakan undang-undang sedia ada di negara ini masih gagal mencetuskan rasa gerun dan patuh kepada rakyat.
Memberi contoh Filipina, Mujibu berkata,
Presiden negara itu, Rodrigo Duterte telah mengarahkan pasukan
keselamatan untuk menembak mati mana-mana warganya yang mengingkari
perintah berkurung atau menyulitkan urusan barisan hadapan negara.
Selain itu, katanya, Thailand sejak
semalam telah mengisytiharkan perintah berkurung di seluruh negara
bermula jam 10 malam sehingga 4 pagi, dengan hukuman penjara dua tahun
atau denda 40,00 Baht, iaitu sekitar RM5,300 kepada mana-mana pihak yang
ingkar.
“Daripada PKP sehinggalah Perintah
Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), mungkin kerajaan Malaysia boleh
mempertimbangkan untuk mengenakan perintah berkurung sepertimana yang
dilakukan Thailand, terutamanya di kawasan Zon Merah,” katanya menulis
di Sinar Harian hari ini.
Pada masa sama, Mujibu turut mencadangkan
denda segera kepada mana-mana individu yang ingkar arahan PKP sebagai
salah satu cara mengetatkan undang-undang.
Malah katanya, kerajaan juga boleh
mempertimbangkan untuk memperkasakan kembali skim Rukun Tetangga bagi
membantu pihak berwajib, untuk membantu mengawal pergerakan di
taman-taman perumahan ataupun di kampung-kampung.
“Kita tidaklah sampai mahu melihat
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang lembut dan beradab
bertukar menjadi tegas, keras dan bengis seperti Duterte di Filipina.
“Tetapi, kalau masih ada lagi yang terus berdegil, memang patut pun beliau menjadi lebih tegas dan keras demi kebaikan negara.
“Malah, mungkin ramai yang bersetuju
bahawa sudah tiba masanya pun kerajaan hari ini untuk lebih bertegas
agar kesengsaraan COVID-19 ini segera berakhir,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan