Dr Ahmad Sanusi Azmi
Secara literalnya 3333 tiada kaitan dengan virus atau Corona
1.
PENAFSIRAN ayat al-Quran yang dikatakan mempunyai maksud berkaitan
Corona adalah satu kesilapan yang nyata. Mereka menyatakan bahawa
bilangan kes di Malaysia yang telah mencapai 3333 adalah satu petunjuk
bahawa Allah pernah menyebutkan tentang perkara ini di dalam al-Quran.
Mereka mendakwa bahawa dalam ayat ke 33 dari Surah al-Ahzab (surah ke 33) ada menyebutkan perkataan:
وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ
Jadi
mereka mengambil perkataan (وَقَرْنَ – waqarna) dan menyamakannya dengan
corona kerana bunyinya yang sangat mirip. Malah angka 33:33 itu seakan
memberi petanda bahawa Allah telah menyebutkan perkara ini ribuan tahun
yang lalu.
2.
Penafsiran sebegini adalah satu kesilapan yang nyata. Kesalahan pertama
berlaku dari aspek konteks penurunan ayat. Menurut Ikrimah (seorang
pakar tafsir dikalangan Tabien yang juga anak murid kepada Ibn Abbas),
bahawa ayat ini diturunkan merujuk kepada para isteri Nabi. Kata
Ikrimah:
أنها نزلت في شأن نساء النبي ﷺ؛ فهن سبب النزول دون غيرهن
“Sesungguhnya
ayat ini diturunkan berkenaan para isteri Nabi SAW dan merekalah yang
menjadi sebab ayat ini diturunkan.” (Tafsir al-Tabari; Dr. Khalid
al-Sabt)
Dalam erti
kata yang lain, ayat ini secara literalnya tiada kaitan dengan virus
mahupun corona. Ia adalah proses pendidikan yang ditujukan kepada para
isteri Nabi supaya kekal dirumah bagi menjauhi fitnah mereka yang
memusuhi Islam.
3.
Kesalahan kedua berlaku dari aspek bahasa. Perkataan (وَقَرْنَ) adalah
merujuk kepada kata arahan (fi’l amar) yang ditujukan khusus kepada
wanita. Andai perkataan ini ditujukan kepada lelaki, lafaz perkataan
tersebut akan berubah menjadi (وَقَرُّوْا). Dalam erti kata yang lain,
perkataan ini langsung tiada kaitan dengan corona. Ini kerana ia berubah
atas wazan yang berbeza bergantung kepada morphology bahasa.
4.
Kesalahan ketiga berlaku dari aspek maqasid atau tujuan ayat. Menurut
al-Imam Ibn Kathir, ayat ini adalah proses ta’dib (pendidikan adab) buat
para isteri Nabi bagi mengelakkan mereka difitnah oleh musuh Islam.
Ayat ini langsung tiada kena mengena dengan virus ataupun wabak
penyakit. Kata Ibn Kathir:
هذه آداب أمر اللّه تعالى بها نساء النبي
“Ayat
ini adalah adab-adab yang diarahkan oleh Allah buat para isteri Nabi.”
Pandangan yang sama turut dinyatakan oleh mufassir moden Sheikh
Mutawalli al-Sya’rawi.
5.
Sebahagian sarjana tafsir turut mempertikaikan penafsiran bersifat
“numerical” ini iaitu penghuraian al-Quran dari aspek nombor dan
bilangan yang terkandung di dalamnya. Beberapa tokoh terkemuka seperti
Sheikh al-Sya’rawi, Sayyid Qutb dan Sheikh Soleh Fauzan pernah
menyuarakan kebimbangan mereka berhubung metodologi pernafsiran
sebegini.
Andai
ulama tafsir terkemuka sendiri telah menyuarakan kebimbangan mereka
tentang penafsiran sebegini, maka apakah alasan kita untuk menerima
tafsiran penulis facebook yang tidak diketahui latar belakang mengenai
mereka.
Semoga Allah membimbing mereka.
*Dr Ahmad Sanusi Azmi, Majlis Ulama ISMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan