Ahad, 5 April 2020

Jangan peduli ‘suara nyamuk’, teruskan usaha perangi COVID-19 habis-habisan!

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah

 

Ultra kiasu tak tahu ke negara sedang berada dalam keadaan ‘darurat’


ADA sekumpulan teramat kecil, ahli akademik, budayawan, aktivis dan ahli politik ultra kiasu menggesa kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, supaya mengadakan sidang tergempar Parlimen bagi membahaskan Pakej Rangsangan Ekonomi berjumlah RM250 bilion yang diumumkan pada Jumaat lalu.

Menurut nyamuk-nyamuk ini, kerajaan perlu mendapatkan mandat yang sewajarnya sebelum melaksanakan sesuatu dasar.

Ultra kiasu ini bijak, mereka pegang kata-kata kiasan PM ketika membentangkan Pakej Rangsangan Ekonomi, iaitu “walau kami bukan kerajaan yang anda undi tetapi saya mahu anda semua tahu bahawa kerajaan ini prihatin terhadap anda.”

Ultra kiasu terus manipulasi kata-kata dengan menggunakan istilah kerajaan bukan pilihan rakyat. Tidak sah katanya.

Betul ke tak sah? Bukankah Yang diPertuan Agong, pemimpin tertinggi negara, telah mengesahkannya mengikut kiraan majoriti. Apa yang tidak sah lagi? Mahu apa lagi?

Oleh itu, kata ultra kiasu ini, kerajaan mesti mendapatkan mandat yang betul daripada semua Ahli Parlimen dalam cara yang tidak berpihak kepada parti politik supaya pakej rangsangan itu diluluskan.

Prosedur ini ultra kiasu, telah diikuti oleh kerajaan yang dipilih secara sah di seluruh dunia.

Betul ke? Ultra kiasu ini tidak tahu ke negara kita sedang berada dalam keadaan ‘darurat’.

Ultra kiasu ini turut menggesa, supaya sidang tergempar Parlimen dipanggil pada kadar segera. Kata ultra kiasu ini, perincian pakej rangsangan mesti dibahaskan dan dipinda sepenuhnya demi faedah semua rakyat Malaysia.

Ultra kiasu ini mahu tahu mengenai ketelusan sumber dana dan kaedah penyampaian awam, serta aksesnya kepada rakyat yang paling memerlukan. Ultra kiasu sungguh kamu.

Dalam keadaan yang terdesak sebegini, kamu minta sidang Parlimen diadakan. Bukankah membuang masa sahaja. Banyak perkara lebih penting yang perlu difikirkan oleh ahli Kabinet, daripada berbahas dan seterusnya tidak mustahil bergaduh tidak berkesudahan di Parlimen.

Maklumlah, tak puas hati, baharu hilang kuasa.

Rakyat tidak mahu melihat itu semua. Jika bersidang pun, rakyat tidak ada rasa nak tonton. Ditakdirkan ada pilihan raya pada musim sebegini, pasti rakyat akan menolak cadangan ultra kiasu ini.

Rakyat mahu melihat, bagaimana hendak perangi COVID-19 ini, agar hidup kembali tenang dan sejahtera. Kamu tahu tak bahawa rakyat kini hidup dalam ketakutan.

Sebab itu, tidak perlulah berlakon untuk menjadi lembu suci. Bila dah reda esok, bentanglah di Parlimen, bergasaklah kamu semua. Buat masa ini, fikirkanlah jalan terbaik untuk rakyat. Kami yang dan elaun tidak sebanyak kamu pun dah mula dipotong.

Saya mahu tegaskan di sini, dan bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh rakan saya, Dr Iskandar Hasan Tan, dalam pengendalian pengurusan krisis dan bencana, memberikan PM kuasa eksekutif sepenuhnya untuk melaksanakan tugas-tugas untuk menyelamatkan negara melalui apa-apa tindakan sewajarnya.

Tindakan PM dalam Pakej Rangsangan Ekonomi adalah selaras dengan kepentingan negara. Secara jelas PM perlu budi bicara YDPA untuk melaksanakan sebarang tindakan. Jelasnya, YDPA tidak mengeluarkan sebarang kenyataan membantah pakej tersebut. Jadi tidak timbul isu seperti yang didesak oleh ultra kiasu.

Jika terdapat sebarang ketidakpuasan perlu menunggu Parlimen bersidang. Sabar. Selagi Parlimen tidak bersidang, Pakej Rangsangan Ekonomi tetap dilaksanakan walaupun mendapat tentangan pihak ultra kiasu.

PM perlu mengunakan kuasa-kuasa yang ada padanya, dalam meletakkan kepentingan rakyat di hadapan ketika pengurusan krisis dan bencana termasuk krisis ekonomi disebabkan COVID19.

Lagipun YDPA selaku ketua negara tidak menentang Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin yang dibentangkan oleh PM. Ini memberikan kuasa sepenuhnya kepada PM untuk melaksanakan sebarang tindakan eksekutif bagi menyelamatkan sitiasi krisis yang melanda negara hari ini.

Menurut Iskandar Hasan Tan lagi, tempoh kuasa ini bergantung kepada PM untuk bilakah Parlimen boleh bersidang untuk membahas pakej rangsangan Prihatin. Atau secara jelasnya selagi Parlimen tidak boleh bersidang disebabkan COVID-19, maka Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin tetap berjalan mengikut perancangan.

Mengenali ultra kiasu ini sekian lama, mereka mahu ambil kesempatan sahaja. Peluang adakan digunakan bila Parlimen bersidang untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada. Mahu kita tahu hati budi mereka. Mulut kata tidak, tindakan belum tentu lagi.

Sudahlah ultra kiasu. Masa ini bukan waktu terbaik untuk berbahas. Masa ini waktu untuk bekerja untuk rakyat. Buatlah dengan penuh ikhlas, tanpa publisiti memualkan.

Kadangkala naik muak melihat ahli politik dan beberapa individu sibuk berlakon, kononnya mahu membantu mangsa COVID-19. Bantu saja lah, tak perlu hurung kamera sana sini. Cerita semua perjalanannya.

Sibuk mengeluarkan kenyataan dan membuat video kerja-kerja ‘amal’ dilakukan ketika wabak COVID-19. Ada yang membuat kenyataan besar-besaran, menggunakan duit gaji sendiri mahu bantu rakyatlah, video ‘live’ dan macam-macam lagi.

Kami, penjawat awam, bantu juga, potong gaji jugak bantu. Tetapi tidak bercerita merata. Tangan kanan memberikan, biarkan tangan kiri tidak tahu. Ini tidak, sibuk bercerita, macam dia seorang sahaja buat kerja dan memberikan bantuan. Yang lain tidak.

Nasihat saya, kepada semua, tidak perlu cerita kebaikan yang kita buat. Sekiranya manusia tidak nampak. Allah SWT pasti nampak.

Jadi, tak payah bawa kamera ke sana ke sini bercerita, nak tunjukkan kebaikan. Perkara ini perlu dihentikan. Apa tujuan semua ini?




Tiada ulasan: