Jumaat, 8 Februari 2019

Yadim perlu diletakkan bawah Majlis Raja-Raja Melayu

    AMINUDDIN YAHAYA


Objektif utama penubuhan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) adalah untuk dakwah dan berperanan untuk menyelaras kegiatan dakwah Islam bersama NGO-NGO Islam tanpa partisan.

Ini bertepatan dengan visi YADIM iaitu sebagai “Peneraju Dakwah Massa” dan misinya “Mengembangkan dakwah massa bagi melahirkan Khaira Ummah (umat yang terbaik) melalui pendekatan berhikmah”.

Maka, sudah menjadi tanggungjawab semua untuk memainkan peranan masing-masing bagi memelihara YADIM dari apa-apa kekacauan yang boleh menggugat integriti dan fungsi badan Islam tersebut.

Pelantikan ahli-ahli politik 

Baru-baru ini, heboh kritikan di media apabila pemegang Amanah Yadim dilantik majoritinya dari kalangan ahli politik.

Lebih parah, seorang wakil rakyat dari parti yang diketahui umum memperjuangkan kesamarataan agama iaitu DAP dilantik buat pertama kali.
Menteri agama dan anggota pemegang amanah Yadim.
Rakyat melihat bahawa ini bertentangan dengan janji kerajaan supaya tidak melantik orang politik dalam badan dan syarikat utama berkaitan kerajaan bagi menjaga integriti.
Atas dasar itu, kebimbangan rakyat ada wajarnya.

Isu agama sangat sensitif

Isu agama merupakan satu perkara yang sangat sensitif dan perlu diuruskan dengan berhemah dan paling berhikmah. Apabila berlaku unsur-unsur campur tangan dan penguasaan dari pihak parti politik, maka sudah tentu kepentingan parti akan diutamakan berbanding dakwah.

Malangnya, suara rakyat ini tidak didengari oleh menteri agama malah beliau telah mengugut bahawa tindakan akan diambil jika ada pihak yang terus mempertikaikan pelantikan tersebut.

Ini satu respon yang paling kurang matang dan tidak profesional dari seorang menteri yang selama ini melaungkan slogan freedom of speech (kebebasan bersuara).

Kerajaan Pakatan Harapan sering melaungkan prinsip keterbukaan atas mendengar pandangan rakyat dalam mengurus tadbir, lebih-lebih lagi berkenaan teguran terhadap kepincangan yang berlaku dalam kerajaan. Tetapi nampaknya beliau telah melanggarinya. Dan ini bukannya yang pertama kali.
Istana Negara. Gambar hiasan.
Sebagai sebuah negara Islam, sudah pasti agama Islam adalah teras pembentukan negara.
Maka, institusi Islam yang penting seperti Yadim ini perlu diletak bawah Majlis Raja-Raja dan langkah ini adalah yang paling sesuai untuk mengelakkan campur tangan mana-mana pihak.

NGO-NGO Islam di Malaysia terdiri dari pelbagai latar belakang pemikiran dan kecenderungan politik. Jika Yadim dikuasai oleh hanya satu pihak, lebih-lebih lagi oleh satu blok parti politik, maka sudah pasti ini akan menyukarkan Yadim untuk bertindak menjadi penaung bagi menggabungkan NGO-NGO Islam tersebut. Maka, Majlis Raja-Rajalah yang paling sesuai untuk mempunyai kuasa ke atas YADIM. Bukannya Jabatan Perdana Menteri.

Prinsip kedaulatan undang-undang

Cadangan bagi meletakkan Yadim bawah penguasaan Majlis Raja-Raja adalah selaras dengan hasrat YAB Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia untuk melaksanakan dasar pemerintahan Negara berteraskan prinsip kedaulatan undang-undang.
Mahathir Mohamad
Ini juga bertepatan dan selari dengan prinsip reformasi institusi yang ingin dilaksanakan oleh Pakatan Harapan dalam pentadbiran negara kerana segala kemungkinan berlakunya campur tangan politik dalam YADIM dapat dihapuskan jika diganti dengan pihak yang lebih berkelayakan, iaitu Majlis Raja-Raja.

Konklusi

Apa yang berlaku melibatkan institusi agama Islam yang utama seperti Yadim pada hari ini adalah satu senario yang tenat. Kepercayaan masyarakat kepada Yadim sebagai penaung kegiatan dakwah akan terjejas, sebaliknya mereka akan merasakan bahawa agenda diketepikan dan sebaliknya agenda politik diutamakan.

Jangan sampai rakyat hilang kepercayaan terhadap fungsi Yadim disebabkan kedegilan kerajaan Pakatan Harapan pada hari ini.

Ternyata, cadangan bagi meletakkan Yadim bawah penguasaan Majlis Raja-Raja adalah solusi yang terbaik buat masa sekarang dan pada masa akan datang. Jika bertukar kerajaan sekalipun, Yadim akan tetap selamat dari sebarang pengaruh politik.

Buktikan kalian adalah yang terbaik untuk Islam.

Buktikan kalian adalah yang terbaik integritinya.

Buktikan kalian cakap serupa bikin.

Kita semua mahukan yang terbaik untuk dakwah Islam, takkan itu pun kerajaan susah nak terima?


AMINUDDIN YAHAYA ialah presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).


Tiada ulasan: