Khamis, 7 Februari 2019

USAH SELESA DENGAN RAMALAN


Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah memberi peringatan kepada pimpinan UMNO untuk tidak berasa selesa dengan ramalan Firma penyelidikan Fitch Solutions Macro Research mengenai populariti Pakatan Harapan (PH) yang diramal menurun dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Katanya UMNO perlu memperkukuhkan kedudukan dan bersungguh-sungguh memulihkan parti yang sebelum itu ditolak rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) lalu.

Beliau berkata UMNO perlu mencapai sasaran untuk kembali memerintah Malaysia seperti dahulu.
“Kita semua mesti terus bekerja dan berusaha memulih serta memperkasakan UMNO.

“Sasaran kita adalah untuk kembali berkuasa dengan memenangi pilihanraya,” katanya melalui kenyaataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Annuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata UMNO juga perlu menitikberatkan kebajikan rakyat yang kini tertekan dengan kepincangan dilakukan kerajaan PH sehingga menjejaskan kehidupan dan ekonomi mereka.

Justeru, beliau menegaskan UMNO perlu kuat dan kekuatan kita tidak boleh dengan hanya bergantung kepada kelemahan PH, apatah lagi dipengaruhi pelbagai ramalan seperti dibuat oleh Fitch Solutions Macro Research.

“Kita juga mesti terus meyakinkan rakyat bahawa UMNO mampu untuk melaksanakan dasar yang terbaik pada rakyat jika diberikan semula kuasa.

“Kita mesti terus berjuang membela dan menyuarakan isu dan masalah rakyat yang ketika ini tertekan dengan kegagalan Kerajaan PH membela rakyat.

“Kita tahu bahawa ketika ini rakyat kecewa dengan Kerajaan PH yang gagal membawa pembaharuan kononnya melalui pendekatan Malaysia Baru mereka,” katanya.



Tiada ulasan: