Sabtu, 9 Februari 2019

Tiada jalan pintas untuk mengejar ilmu

   

Penulis Julia Yeow telah merumuskan kontroversi terkini dengan baik: Segulung ijazah bukan cerminan terhadap seseorang, tetapi berbohong tentang hal itu mencerminkan dirinya.

Sementara itu wartawan Malaysiakini, Zikri Kamarulzaman - antara yang terawal mengulas kontroversi ini - telah mengemukakan hujah bernas tentang mengapa integriti lebih baik daripada segulung 'ijazah'.

Hal ini barangkali berkait rapat dengan fenomena sesetengah orang yang suka menggunakan darjah kebesaran - Datuk, Datuk Seri, dan Tan Sri - palsu pada nama di kad perniagaan mereka.

Mengapa kita begitu obses dengan darjat dan gelaran, sampai sanggup menipu?

Ini mungkin berpunca daripada kurangnya keyakinan diri, ditambah pula dengan kecenderungan untuk melalui jalan pintas ke arah pengiktirafan dan populariti.

Kita boleh menganggap tingkah laku sedemikian biasa bagi penipu dan “scammer”, tetapi amat membimbangkan jika ia melibatkan kalangan pemimpin tertinggi kerajaan kita.

Tahap pendidikan yang rendah memang membimbangkan, tetapi integriti yang rendah lebih membimbangkan.

Tanda-tanda curiga

Bagi saya, kurangnya kepintaran seseorang itu bukan kerana dia tiada ijazah, tetapi apabila memilih untuk membeli ijazah dari Cambridge International University.

Tindakan itu menunjukkan dua kemungkinan: Dia tidak menjangka tindakan itu akan diketahui orang atau, lebih parah, dia sendiri tidak sedar telah membeli ijazah dari universiti palsu.

Berikut beberapa tanda menunjukkan universiti tempat anda membeli ijazah mungkin tidak sah atau tidak berwibawa.



Pertama: Semua tenaga pengajar mempunyai pelbagai ijazah, dimulakan dengan kelulusan (misalnya "PHD") dan hanya diikuti dengan lokasi yang ditulis dalam tanda kurungan - misalnya "(London)".

Ia seolah-olah memberi anggapan hanya ada satu universiti di London, atau satu sahaja yang menyediakan pendidikan peringkat PHD. Kepada sesiapa yang ragu-ragu, izinkan saya tegaskan - ini tidak benar.

Kedua: Nama tempat universiti itu sendiri dieja dengan salah. Misalnya, Auckland dieja sebagai 'Aukland' dan Scotland menjadi 'Socttland'.

Ketiga: Gambar tenaga pengajar yang lebih menyerupai pelakon filem remaja era 1980-an, atau lebih sesuai di kalatog laman mencari jodoh atas talian.

Masa untuk seppuku?

Harapnya pemimpin tertinggi negara kita bukanlah jenis yang mudah termakan dengan penipuan tahap scam emel Nigeria 419.

Kita juga berharap para pemimpin sedar kita bukan lagi hidup di era lampau. Zaman sekarang, setiap pergerakan kita diawasi orang ramai di internet.

Reaksi individu itu - setelah tembelangnya pecah - juga menunjukkan peribadinya yang sebenar.

Ketua yang tegas akan menuntutnya melakukan seppuku, tetapi kita mungkin belum sampai ke tahap meletakkan pendang Jepun di tangan mereka.

Bagaimanapun, tindakan memutar belit selepas berbohong selalunya hanya menjadikan keadaan bertambah buruk. Apatah lagi dengan mendakwa berbohong mengenai ijazah tidak seburuk membunuh atau merogol.

Apabila sudah ditangkap terang-terang - in flagrante delicto - satu-satunya jalan keluar untuk ahli politik adalah insaf dan bertaubat.

Chua Soi Lek boleh dijadikan contoh.

Jalan mulia

Saya telah bertemu dengan ramai individu yang tiada ijazah dan saya yakin - tanpa sebarang keraguan - mereka lebih pandai daripada saya.

Sentiasa merendah diri, tidak mendabik dada, dan jujur, mereka adalah orang yang bukan dihormati kerana perkataan di pangkal atau belakang nama, tetapi kerana perkataan yang dibaca dan diucap mereka.

Memang wajar untuk menambah baik diri sendiri - dengan atau tanpa pengiktirafan luaran.
Dalam mencari jalan untuk memperbaiki diri ini, kita mesti sedar bahawa jalan pintas tidak wujud sama sekali.

Ia jalan yang sukar dan saya sama sekali tidak akan berkata tahu jawapannya. Walaupun kita belum ada peta atau jawapan, cukup jelas bahawa jalan itu tidak melalui Cambridge International University.

NATHANIEL TAN adalah Pengarah Media dan Komunikasi di EMIR Research, badan pemikir dengan fokus terhadap penyelidikan dasar berteraskan data, berteraskan nilai perundingan, kesederhanaan, inovasi dan kerapian.


Tiada ulasan: