Selasa, 12 Februari 2019

PAS lega perkembangan siasatan SPRM

 
   

PAS lega dengan perkembangan terbaru siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas dakwaan penyaluran RM90 juta dana 1MDB kepada pemimpin parti mereka.

Naib Presiden PAS, Mohd Amar Nik Abdullah berkata demikian sebagai mengulas laporan Malaysiakini yang memetik sumber SPRM yang mengatakan bahawa siasatan setakat ini mendapati tiada dana dari 1MDB dalam jumlah berkenaan yang disalurkan ke akaun bank rasmi parti itu.

"Kita sudah menegaskan beberapa kali bahawa dakwaan terima dana itu adalah tidak benar dan fitnah.

"Tohmahan itu dilakukan semata-mata mahu menjatuhkan imej PAS pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu

"Kalau berita ini benar, alhamdulillah kerana kita sudah tegaskan beberapa kali, malah turut dijelaskan sendiri oleh (bekas perdana menteri) Najib Razak dan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan," katanya selepas merasmikan kafe, Al Khatiri Kofee, di Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Terdahulu, dalam laporan yang dimaksudkan, sumber memaklumkan kepada Malaysiakini bahawa akaun yang diteliti adalah akaun yang didaftar di bawah nama parti dan bukannya akaun peribadi pemimpin PAS.

Bagaimanapun, belum dapat dipastikan sama ada SPRM sudah selesai meneliti akaun peribadi pemimpin PAS yang dikaitkan dalam siasatan yang dilancarkan suruhanjaya itu enam hari lalu.

Pada 2 Feb lalu, Setiausaha Politik kepada presiden PAS, Syahir Sulaiman memaklumkan bahawa Abdul Hadi memutuskan untuk menyelesaikan kes saman terhadap editor Sarawak Report di luar mahkamah.

SPRM kemudian membuka kertas siasatan selepas menerima laporan daripada pihak polis berhubung isu berkenaan pada 5 Feb lalu.

SPRM setakat ini sudah memanggil beberapa pemimpin PAS termasuklah anggota Jawatankuasa PAS Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz hadir di Ibu Pejabat SPRM Kelantan bagi memberi keterangan.


Tiada ulasan: