Selasa, 5 Februari 2019

‘Maut’ jika pegang telefon bimbit

isma web

Bekas askar British berkhidmat di Basra pada 2007 dedah mereka dibenar menembak sesiapa sahaja yang membawa penyodok


BANGI– Askar British yang berkhidmat di Iraq dan Afghanistan dibenar menembak orang awam tidak bersenjata hanya kerana mengesyaki mereka sebagai pengintip, lapor agensi berita berpangkalan di London, Middle East Eye (MEE).

Mangsa mereka, termasuk kanak-kanak dan remaja lelaki, lapor MEE yang menemu bual beberapa bekas askar yang pernah berkhidmat di dua negara berkenaan.

Dua bekas anggota infantri mendakwa mereka yang pernah berkhidmat di Iraq pada satu masa dibenar menembak sesiapa sahaja yang memegang telefon bimbit, membawa penyodok atau berkelakuan mencurigakan.

Peraturan itu dibuat kerana kebimbangan bahawa individu tidak bersenjata bertindak sebagai penyokong militan, atau terbabit dalam menanam bom tepi jalan.



Bekas anggota tentera laut British berkata, seorang pegawai mengaku kepada anggotanya bahawa dia bertanggungjawab terhadap kes menembak mati seorang kanak-kanak Afghanistan berusia dalam lingkungan lapan tahun.

Seorang lagi bekas askar mendakwa kes menembak mati dua remaja lelaki yang tidak bersenjata, yang disaksikannya di Afghanistan, telah disembunyikan daripada pengetahuan umum.

Sepasang senjata api era Soviet Russia dikeluarkan daripada simpanan di pangkalan tentera British dan diletakkan bersebelahan mayat remaja terbabit bagi memberi gambaran bahawa kedua-duanya adalah pejuang Taliban, katanya.

MEE melaporkan bekas askar itu mendakwa dia melihat senjata jenis sama turut disimpan di beberapa pangkalan lain.

“Saya pasti senjata itu diguna untuk tujuan berkenaan. Kami dikunjungi setiap hari oleh pasukan dari ibu pejabat, dan senjata itu didaftar serta dipulangkan,” katanya.

Seorang bekas askar berkata, dia menyaksikan pembunuhan kejam sering berlaku di Basra, Iraq dan tidak percaya bahawa semua mangsa mengintip pergerakan tentera British.

Sambil mendakwa kebenaran menembak itu menyebabkan berlaku pembunuhan sewenang-wenangnya, dia juga berkata, mereka diberi jaminan tidak akan disiasat oleh polis tentera.



“Pegawai pemerintah memberitahu ‘kami akan melindungi anda jika ada siasatan. Hanya katakan anda benar-benar berpendapat nyawa anda terancam. Perkataan itu akan melindungi anda’,” katanya.

Pada awal 2007 di Basra, anggota tentera Batalion Ke-2 Regimen Duke of Lancaster berkata, mereka diberitahu bahawa peraturan pertempuran berubah tatkala kepungan di pangkalan mereka meningkat.

Dua bekas anggota batalion itu yang bertugas di kem berbeza berkata, mereka diberitahu bahawa mengikut peraturan baharu, mereka boleh menembak sesiapa saja yang mencurigakan, membawa telefon bimbit, penyodok, atau berada di atas bumbung bangunan.

Orang awam yang membawa penyodok adalah sasaran sah kerana peningkatan jumlah bahan letupan yang ditanam di tepi jalan.

Kebanyakan kes menembak orang awam berlaku ketika rondaan waktu malam menggunakan kenderaan bersenjata. Mereka mendakwa tiada masa untuk bertanya sebelum menembak.

“Siapa sahaja yang anda fikir pengganas, anda tembak. Tetapi bagaimana kami boleh tahu mereka memberi ancaman? Tidak semua mereka memberi ancaman. Sesetengahnya adalah individu yang memiliki telefon bimbit.

“Kami menembak lelaki tua, atau muda. Ini saya saksikan,” katanya.


Tiada ulasan: