Selasa, 5 Februari 2019

Habuan cari Jho Low: Polis pertimbang beri wang tunai, ganjaran - IGP

MALAYSIAKINI

   

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata polis mungkin mempertimbangkan untuk memberi habuan kepada mana-mana pihak yang dapat membantu menyalurkan maklumat sehingga tertangkapnya ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

"Kalau bagi habuan sekalipun, kita perlu bersedia dengan wang tunai dan ganjaran serta sebagainya.

"Kalau ada keperluan, kita akan mempertimbangkannya," katanya, petik laporan Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di Shah Alam hari ini.

Mohamad Fuzi menjelaskan pihak polis turut menyambut baik jika ada mana-mana pihak yang mahu memberi ganjaran sehingga tertangkapnya Jho Low yang didakwa menjadi dalang melesapkan AS$4.5 bilion dana syarikat pelaburan negara 1MDB.

"Saya rasa usaha mengesan jho low bukan dilakukan oleh pihak polis sahaja malah berbagai usaha dilakukan (pihak lain).

"Bila ada insentif, ada orang akan tampil (bagi maklumat) bagi mempercepatkan tangkapannya. Matlamat kita dapatkan Jho low," jelas Fuzi.

Tahun lalu, MP Segambut Lim Lip Eng berkata seorang penderma yang enggan dinamakan bersedia memberi ganjaran wang tunai RM100,000 jika dapat membawa Jho Low kembali untuk dihadapkan ke mahkamah.

Keberadaan Low tidak dapat dipastikan, tetapi terdapat laporan yang dia berada sama ada di China, Macau atau di Hong Kong.

Jho Low dikehendaki polis bagi membantu siasatan berhubung skandal 1MDB.

Turut dikehendaki bapanya Larry Low Hock Peng dan ibunya Goh Gaik Ewe, kedua-dua 66 tahun, polis juga mencari warga Singapura Shabnam Naraindas Daswani @ Natasha Mirpuri, 54, dan Eric Tan Kim Loong, 40 berhubung siasatan kes 1MDB.

Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Disember 2018 mengeluarkan waran tangkap terhadap ahli perniagaan kontroversi itu, Low Taek Jho, atau Jho Low, dan empat individu lagi.

Empat individu itu ialah Eric Tan Kim Loong, 40, Tang Keng Chee, 53, Geh Chong Heng, 47, yang ketiga-tiganya merupakan pegawai 1MDB dan seorang wanita, Loo Ai Swan, 45, bekas peguam 1MDB.


Tiada ulasan: