Isnin, 11 Februari 2019

Dedah dan dedak



CERITA dedah aurat oleh seorang artis wanita baru-baru ini, agak menggemparkan. Dimaklumi rakyat Malaysia memang suka membawang melibatkan banyak perkara. Paling disukai apabila melibatkan perilaku artis. Artis itu kemudian mempertahankan dirinya. Alasannya itu tidaklah dilihat benar dari segi agama. Maka yang marah, akan bantah. Yang minat, akan pasrah.

Walaupun diugut ramai peminat untuk tidak lagi menonton hasil seni beliau yang kita terjemahkan sebagai mengurangkan populariti dan juga bayaran yang boleh istilahkan sebagai dedak, beliau tetap dengan keputusannya. Dia tetap dedah walaupun kurang dedak. Tetapi agak membimbangkan ialah dedak akhirat orang yang mengutuk beliau akan berkurang walau artis itu yang mendedahkan auratnya. Semoga Allah memberikan hidayah kepada semua untuk kembali kepada kehendak Allah.

Ada pula golongan yang sanggup menipu penampilan mereka dalam usaha bagi mereka mencari pendapatan iaitu dedak yang banyak. Mereka tanpa segan menjalankan operasi mereka tanpa takut dosa dan pahala. Mereka bergerak serata tempat bagi mengelakkan penipuan mereka didedah orang yang mungkin mengenali atau menghidu modus operandi mereka.

Hangat juga baru-baru ini berkaitan dengan kisah pembesar negara yang tidak mempunyai kelulusan yang sepatutnya. Mulanya nama pusat pengajian dikelirukan. Kemudiannya dinafikan dan diperbetulkan. Tetapi apabila nama baharu pusat pengajian itu didedahkan, timbul pula keliru lain yang menyebabkan kepala yang tidak gatal digaru-garu. Datang pula ketua beliau dengan mudah menjawab, asal tidak merogol dan membaham rasuah, tiada masalah. Dedak yang besar, tetap dia makan, walau diragui.

Sebelum ini, kumpulan mereka suka mendedahkan kelaku jahat pembangkang sekarang. Memang munasabah kerana kerajaan yang dahulu pun, tidak kurang hebat menipu. Ini semua kerana berebut dedak. Bukannya sedikit dedak yang mahu direbut, dan sepatutnyalah semua pihak pakat dedah mendedah sebab mahu rebut dedak itu. Tiada ubah perangai dendam ini dengan binatang buas di rimba. Bila ada kuasa, baham yang lain, bila tidak kuasa dibaham oleh yang lain.

Almarhum Mursyidul Am PAS dahulu pernah mendedahkan bahawa BR1M adalah satu jenis dedak yang ditabur oleh pemerintah bagi mendapatkan undi rakyat. Dedak yang ditabur secara teratur dan bersistem itu, tidak lain hanyalah kerana kerajaan yang memerintah ketika itu, mahu terus berada di tampuk pemerintahan. Dedah beliau lagi, ada yang layak, tidak diberi. Rakyat diperlaku seperti ayam yang diberi dedak, untuk disembelih. Sehingga habis umur beliau, begitulah dipaterikan pandangannya itu.

Tun Mahathir adalah empunya kepada sindiran dedak ini. Beliau juga tidaklah baik sangat dalam isu berkaitan dengan dedak ini. Jika agak tertekan, beliau akan mula bercakap mendedahkan kejahatan Israel, atau mengutuk bangsa lain untuk kekal dikenang rakyat sebagai wira. Sentiasa loceng agama dan bangsa dibunyikan beliau jika diasak sehingga ke penjuru gelanggang. Dapatlah bernafas kembali beliau.

Tun mempunyai keistimewaan meredakan kemarahan orang. Bagi rakyat kebanyakan yang mengenali Tun hanya melalui surat khabar kerajaan, mereka tidak merasa apa-apa kecacatan Tun walaupun didedahkan dengan bermacam-macam riwayat oleh seteru beliau. Mereka diberikan Tun dedak kemajuan negara yang cukup membanggakan. Jadi bagi mereka, asal negara maju, cukup dedak, Tun nak ambil bahagian Tun, ambillah. Begitulah pintarnya Tun berpolitik. Tun juga pandai larikan diri jika ada orangnya membuat onar.

Tidak kepada rakyat biasa sahaja, Tun juga memberikan dedak kepada ahli-ahli politik. Dedak kepada ahli politik kawan, itu biasa. Tetapi dedak kepada ahli politik lawan, itu luar biasa. Dan langkah Tun tidak sumbang. Terengganu diberikan dedak royalti walaupun parti Islam yang menguasai. Kelantan masih menunggu, tetapi insyaAllah ada cahayanya. Dedak ini tidak akan ditolak pastinya, kerana ia hak rakyat. Dedak ini bukan sebarang dedak kerana dedak ini juga akan memberikan imbalan yang besar kepada Tun.

Jika pelampung PH bocor, maka Tun akan dapat berpaut dengan dedak royalti ini, paling kurang. Jadi bolehlah beliau kembali melaungkan penyatuan Melayu-Islam bersama BN dan parti Islam, meninggalkan rakan pakatan beliau sekarang. Taktik ini tidak perlu didedah beliau, kerana cara memberikan dedak itu sahaja pun, kita sudah nampak bagaimana niatnya. Nanti tenggelamlah parti rakan Tun dan akan terdedah kepada serangan dan tuduhan oleh BN pula, yang menunggu geram untuk mengambil semula dedak mereka yang dipegang PH. Tun pula selamat. Tun juga meletakkan orang beliau percaya untuk jaga dedak royalti ini. Takut orang lain, iaitu khadam DAP khianat, Melayu marah, maka rosaklah rancangannya.

Ketika dahulu, parti Islam mempunyai sekumpulan manusia yang dikatakan hebat, cerdik, profesional dan bakal memimpin negara dengan panduan ulamak. Mereka kemudiannya didedahkan dengan segala selok belok tipu daya siasah secara Islam oleh ulamak-ulamak senior sebagai persiapan ke arah itu. Mereka disyaratkan untuk tidak minta atau mengagungkan dedak dunia walau berkuasa dalam perjuangan suci ini, sebaliknya merekalah yang mesti memberi hak dedak kepada rakyat sebagaimana Islam mahukan.

Tidak diketahui mulanya mengapa mereka kemudiannya berpaling arah menjadi penentang kepada guru-guru mereka itu. Namun setelah beberapa lama, maka terdedahlah bahawa persiapan mereka untuk mengambil alih parti Islam dari dalam, telah berjalan sejak kira-kira 40 tahun lalu. Rancangan mereka ini dimaklumi oleh pimpinan peringkat atasan, tetapi tidak didedahkan dengan semberono oleh pimpinan yang handal mengatur gerak balas itu. Langkah dibuat secara diam, sambil diletakkan orang terpecaya bersama mereka, mengambil tahu gerak mereka. Akhirnya mereka gagal merampas kuasa setelah dedak yang mereka cuba berikan, tidak dimakan oleh perwakilan. Parti Islam tidak terliur dedak dari manusia.

Setelah terdedah ‘aurat’ mereka, maka berbondong-bondonglah keluar parti tanpa dihambat kepada parti yang baharu ditubuhkan, bagi menyerang secara berdepan. Mereka menerima dedak daripada taiko mereka bagi menjalankan kerja-kerja menyerang itu. Sehinggakan warna oren, lambang parti juga diperkenan oleh taiko mereka sebelum diluluskan. Pun begitu, lambang parti mereka dikenal pasti sebagai meniru lambang stesen TV di India setelah didedahkan oleh rakyat. Tapi malu diketepikan kerana dedak.

Setelah menang PRU, semakin banyak dedak yang diperolehi. Gembira sungguh mereka. Belum sempat setengah tahun, sudah ada kelihatan di mulut mereka penuh dengan debu-debu dedak. Syukur, rakyat begitu prihatin cepat menghidu dengan dedahan demi dedahan yang mereka sedang membolot dedak, tidak ubah seperti pencuri dedak dahulu. Sekarang mereka terdedah dengan kebencian rakyat yang melihat sendiri mereka membaham dedak, sehinggakan dedak yang sepatutnya dikurnia kepada bangsa teramai di dalam negara juga kelihatan dikecilkan. Diberi kepada puak yang sudah lama mengidam dedak itu dan mengutuk-ngutuk tuan punya dedak. Manakala dedak yang dijanjikan kepada rakyat, tidak pula ditunaikan. Semakin terdedah PH kepada kekalahan. Ah, dedak ini memang menjahanamkan manusia.

Oleh itu, tiada gunanya jika ada ahli parti Islam yang secara tiba-tiba mendedahkan kepada umum kononnya apa yang dikatakan sebagai penyelewengan. Mereka mendakwa tidak menerima sebarang dedak daripada sesiapa pun. Golongan sebelumnya juga menafikan menerima dedak. Hatta setelah didedahkan, tetap tidak mengaku walaupun sudah nampak kebenarannya. Mereka kata dedahkan penyelewengan kepada dunia atas nama jemaah, tidak mengambil dedak kerana Allah. Kemudian mereka dakwa rapat dengan ramai pembesar, berjela-jela cerita berkenaan korban mereka dahulu untuk jemaah.

Sayangkan Mursyidul Am, tetapi langgar arahan almarhum supaya patuh kepada Presiden. Almarhum Dato’ Harun Taib walaupun tidak bersetuju menerima Abu Urwah ke dalam PAS, beliau tetap tidak mengumumkan perang terbuka. Patuh beliau kepada jemaah. Tiadalah beliau menyohorkan diri beliau yang sudah bergelumang lama dalam jemaah bagi menghapuskan Abu Urwah. Tetapi Abu Urwah, saban waktu mencanangkan kehebatan beliau ditahan ISA kepada umum. Siapakah yang lebih hina daripada Abu Urwah yang datang merayu-rayu ke Manir, mahu masuk PAS atas niat membunuh PAS dari dalam dan membawa bahtera Islam ini kepada jalan menyeleweng atau kumpulan orang yang dituduh sekarang?

*MOHD NASIR ABDULLAH, Al-Khor, Qatar

Tiada ulasan: