Sabtu, 5 Januari 2019

Khalid Samad bazir duit rakyat terbit akhbar WilayahKu, kata Umno



KUALA LUMPUR: Langkah Kementerian Wilayah Persekutuan menerbitkan akhbar mingguan baru, WilayahKu merupakan pembaziran dana kerajaan, kata pemimpin Umno tempatan, Datuk Mohd Razlan Rafii.

Naib ketua Umno Bahagian Seputeh itu berkata, langkah tersebut bertentangan dengan apa yang dilaungkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) kononnya negara perlu berjimat kerana hutang negara begitu besar.

Selain itu katanya, idea menerbitkan akhbar tersebut juga adalah langkah terkebelakang sekiranya ia dibuat sebagai usaha untuk membangunkan negara kerana akhbar cetak tidak lagi menjadi bacaan popular, terutama di bandar besar.

“Dalam bandar besar orang lebih membaca akhbar melalui media elektronik, sebaliknya menteri melancarkan akhbar bercetak,” katanya kepada FMT.

Beliau juga mendesak Khalid mendedahkan kepada umum kos operasi dan percetakan akhbar tersebut jika kerajaan benar-benar telus.

Katanya, penerbitan akhbar tersebut semestinya menelan belanja yang besar, tambahan lagi ia diberi percuma.

Semalam, Khalid melancarkan akhbar akhbar mingguan baru, WilayahKu dengan berkata, akhbar tersebut tidak boleh dilihat sebagai medium propaganda kerajaan PH, sebaliknya sebagai penghubung antara kerajaan dan masyarakat di ibu kota, Putrajaya dan Labuan.

Khalid berkata, akbar WilayahKu merupakan medium dan usaha menyebarkan inisiatif mensejahterakan rakyat di samping menjadi media penghubung antara kerajaan dan masyarakat.

Akhbar WilayahKu diterbitkan oleh syarikat Wilayah Media Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Yayasan Wilayah Persekutuan dan dikendalikan oleh 6 orang kakitangan.

Ia akan diketuai oleh Zulkifli Sulong, yang juga merupakan setiausaha akhbar menteri Wilayah Persekutuan sebagai ketua pengarang, manakala pengarangnya ialah bekas penolong pengarang berita akhbar Kosmo, Helmi Mohd Foad.

Akhbar tersebut dijangka diberikan secara percuma dan diedarkan di masjid, pusat ibadat, surau dan pejabat kerajaan di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Pada peringkat permulaan, akhbar berkenaan akan dicetak sebanyak 20,000 naskhah dan jumlahnya ditambah dari semasa ke semasa.

Akhbar untuk jaga kroni?

Razlan yang juga bekas ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan mendakwa kewujudan akhbar tersebut tidak lebih untuk memberi projek kepada kroni, bukannya membantu rakyat.

Beliau turut mempersoalkan kewajaran Khalid melantik setiausaha akhbarnya sendiri untuk menjadi ketua pengarang akhbar berkenaan.

“Untuk apa akhabar ini diterbitkan? Adakah untuk menjaga kroni dan bazirkan duit Yayasan Wilayah Persekutuan?

“Saya nasihatkan menteri wilayah supaya dapatkan penasihat bertaraf dunia yang boleh memikirkan perkara baru lebih relevan dengan perkembangan yang berlaku di dunia hari ini.

 “Rakyat bandar bergantung harap kepada kerajaan untuk terus membangunkan dan membelanjakan wang cukai kepada perkara yang bertaraf dunia tanpa meningkatkan kos kehidupan mereka,” katanya.

Tiada ulasan: