Sabtu, 5 Januari 2019

Dr Mahathir, jangan jolok sarang tebuan


Sudah banyak spekulasi berkeliaran berkenaan isu peletakan jawatan dan pelantikan Yang di-Pertuan Agong. Macam-macam teori yang dikongsi netizen, lebih-lebih lagi mengenai tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad didakwa mencampuri urusan Majlis Raja-raja dalam memilih Agong baru.

Mengikut senarai pemilihan, Sultan Pahang layak menjadi Agong seterusnya, diikuti Sultan Johor dan Sultan Perak. Namun, terdapat berita Sultan Pahang tidak berminat menjadi Agong dan tentunya nama Sultan Johor sebagai Agong menggerunkan Dr Mahathir.

Atas sebab inilah, Dr Mahathir berkongsi satu peringatan kepada raja-raja yang mereka tidak terkecuali daripada pelaksanaan undang-undang melalui catatan blog bertajuk “Rule of Law” yang secara jelas terhadap raja-raja.

Prinsip “rule of law” memang wajar ditegakkan tanpa pengecualian. Namun, dalam konteks sekarang, prinsip ini seperti hanya digunakan untuk tujuan politik dan tidak ikhlas menegakkan undang-undang.


Contohnya, di manakah prinsip “rule of law” dalam kes rasuah Lim Guan Eng? Kes yang ternyata wujud elemen salah laku, tetapi digugurkan Peguam Negara, Tommy Thomas yang dipilih oleh Dr Mahathir. Kes tersebut sepatutnya diteruskan agar Lim dapat bersihkan nama beliau jika tidak bersalah, bukan diselamatkan dengan cara mudah melalui pengguguran kes.



Di manakah juga prinsip “rule of law” dalam kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim? Insiden di luar Kuil Sri Maha Mariamman yang bertukar menjadi rusuhan mengorbankan nyawa seorang penjawat awam yang sedang menjalankan tugas. Hingga hari ini, masih tiada berita keadilan akan ditegakkan.

Dalam kes yang sama, prinsip “rule of law” turut dibelakangkan, apabila keputusan mahkamah tidak dihiraukan, di mana kuil itu ingkar berpindah.

Begitu juga dengan peristiwa berdarah Memali. Di manakah prinsip “rule of law”? Sehingga kini, ramai tertanya-tanya kenapa begitu ramai anggota keselamatan dikerahkan menangkap Ibrahim Libya? Pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang dahulu memperjuangkan pembentukan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk mencari kebenaran, sekarang diam membisu apabila sudah berkuasa.

Apa sebenarnya nilai prinsip “rule of law” bagi kerajaan PH? Bukti-bukti yang disenaraikan secara terang menunjukkan Dr Mahathir dan kerajaannya amat hipokrit dalam menegakkan dan menghormati undang-undang. Mereka bukanlah malaikat seperti yang mereka ingin tonjolkan.



Contohnya kisah Prebet Adam Jaafar yang memberi gambaran raja zalim harus ditentang. Media melaporkan kononnya Prebet Adam mengamuk apabila mendapat tahu adiknya dibunuh Sultan Johor ketika itu, sedangkan Prebet Adam tiada adik lelaki dan hanya ada adik perempuan yang meninggal dunia dalam kebakaran rumah ketika berumur 2 tahun.

Menurut perkongsian Tunku Mahkota Johor, Prebet Adam telah dipaksa mengaku mengamuk kerana Sultan Johor ketika itu membunuh adiknya. Lebih memeranjatkan, keluarga Prebet Adam sendiri memohon maaf kepada kerabat diraja Johor kerana terpalit fitnah tersebut dan menjelaskan kejadian mengamuk itu berlaku kerana Prebet Adam menghadapi masalah di tempat kerja.

Sejarah mengajar kita untuk tidak mudah terpedaya. Jika dulu kita bergantung kepada maklumat akhbar utama yang dikawal kerajaan, kini kita mempunyai alternatif untuk mengesahkan maklumat tersebut melalui internet yang tidak dapat dikawal kerajaan.

Dr Mahathir bagaikan tidak belajar daripada protes Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD). Orang Melayu bersatu apabila beliau mengumumkan Malaysia akan meratifikasi ICERD, perjanjian antarabangsa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Keputusan beliau bagaikan menjolok sarang tebuan dan sekali lagi beliau mahu mengganggu gugat benteng pertahanan terakhir orang Melayu dan Islam melalui kempen negatif terhadap institusi diraja.

Insaflah Dr Mahathir.

Tiada ulasan: