Sabtu, 5 Januari 2019

Kerajaan masih untung walaupun RON95 dijual RM1.93 seliter

Wartawan MalaysiaGazette

xMGF04012019_TINJAUAN-STESEN-MINYAK02-681x454
Seorang pengguna dilihat mengisi minyak kenderaan mereka susulan kejatuhan harga minyak mentah dan kerajaan menetapkan harga minyak secara mingguan bermulanya tengah malam tadi ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Stesen Minyak Petronas Salak Selatan, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI
 

KUALA LUMPUR – Penetapan harga runcit RON95 sebanyak RM1.93 yang diumumkan oleh kerajaan Pakatan Harapan semalam masih lagi tinggi memandangkan harga minyak dunia berlegar sekitar AS$54 setong.

Ini bermakna kerajaan masih lagi ‘untung’ dengan harga baharu yang ditetapkan.

Seorang penganalisis pasaran berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) pernah mengenakan harga RM2.20 seliter untuk RON95 dan ketika itu harga minyak mentah global adalah AS$80 setong.

Malah, Rusli Ahmad menambah, ketika harga minyak dunia sekitar AS$60 setong pada tahun 2015, harga yang ditetapkan untuk RON95 ialah RM1.70 seliter.

“Jadi, kalau pada harga minyak global AS$54 setong dan jika diambil kira dengan tambahan margin keuntungan pengusaha minyak dan rakyat perlu membayar RM1.93 seliter, caj ini masih terlalu tinggi.

“Ini bermakna kerajaan masih mengaut keuntungan,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika diminta mengulas mengenai harga baharu RON95.

Semalam, kerajaan mengumumkan harga baharu runcit petrol dengan RON97 diturunkan daripada RM2.50 seliter kepada RM2.23 seliter, RON95 kepada RM1.93 seliter dan diesel RM2.04 seliter.
Harga runcit itu untuk langganan mulai 5 Januari 2019 sehingga 11 Januari 2019.

Kerajaan mengurangkan harga bahan api itu selepas pelbagai pihak mendakwa kerajaan telah mengutip cukai ke atas RON95 selepas mengenakan harga RM2.20 seliter sejak dua bulan lalu meskipun harga minyak dunia jatuh.

Rusli berkata, sebenarnya apungan bebas adalah yang terbaik dilakukan oleh kerajaan ketika harga minyak dunia merudum.

Melalui apungan bebas, stesen-stesen minyak boleh menentukan harga pasaran sendiri.

“Kaedah ini lebih baik seperti penentuan nilai mata wang. Pengurup-pengurup mata wang juga menawarkan nilai berbeza-beza bagi kadar pertukaran mata wang. Pengurup yang efisien biasanya akan memberi nilai terbaik.

“Pendekatan yang sama boleh dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan, jika berani,” ujarnya.

Namun, kata Rusli, pelaksanaan apungan bebas hanya sesuai jika harga minyak turun dan sekiranya berlaku kenaikan semula ia tidak boleh dilakukan.

Sehubungan itu, menurutnya, kerajaan perlu mempunyai polisi khas dalam penetapan harga minyak terutama membabitkan RON95 dengan menetapkan harga siling tertentu supaya lebihan had harga disubsidi oleh kerajaan.

“Yang pasti kaedah ini tidak membebankan pengguna RON95 yang besar,” katanya.

Kerajaan juga tidak rugi ketika memberi subsidi semasa harga minyak global naik.

Ini kerana setiap kenaikan sebanyak AS$10 kerajaan mendapat keuntungan sebanyak RM3 bilion. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: