Sabtu, 5 Januari 2019

Paling baik umum harga baharu petrol selepas bursa tutup – Penganalisis

Wartawan MalaysiaGazette
xMGF04012019_TINJAUAN-STESEN-MINYAK10-681x454
Seorang pengguna dilihat mengisi minyak kenderaan mereka susulan kejatuhan harga minyak mentah dan kerajaan menetapkan harga minyak secara mingguan bermulanya tengah malam tadi ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Stesen Minyak Petronas Salak Selatan, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI
 

KUALA LUMPUR – Tidak ada perbezaan sama ada kelebihan atau keburukan yang ketara dalam pemilihan hari untuk melaksanakan penetapan mekanisme apungan harga bahan bakar.

Ini kerana, tidak ada peraturan tertentu, malah tidak ada maklumat yang tepat berhubung ketepatan dalam menentukan harga minyak dalam mekanisme apungan.

Oleh yang demikian, penentuan hari bagi pelaksanaan mekanisme apungan harga minyak bergantung kepada keputusan kerajaan.

Bagaimanapun, penganalisis ekonomi tempatan, Azrul Azwa Ahmad Tajuddin berkata, adalah lebih baik sekiranya harga minyak mingguan diumumkan pada hari Jumaat selepas Bursa Malaysia ditutup.

Ia boleh mengelakkan impak serta-merta sama ada positif atau negatif pasaran susulan pengumuman harga bahan api.

“Seperti diketahui pasaran mudah menyerap apa-apa sahaja pengumuman yang boleh memberi implikasi kepada ekonomi dan pasaran.

“Justeru, kalau (pengumuman) dibuat selepas pasaran ditutup, ia menyediakan masa dan ruang yang cukup untuk perkara itu dibincang atau dibahaskan oleh orang ramai sepanjang hujung minggu tanpa memberi kesan langsung kepada pasaran kewangan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Selain itu, ia membolehkan pasaran kewangan menyerap apa-apa kejutan terutama berita negatif pada hujung minggu dan pada hari Isnin ketika bursa dibuka, kesannya tidak ketara.

Manakala, Penasihat Persatuan Penganalisis Teknikal Malaysia (MATA), Nazarry Rosli berkata, pengumuman harga minyak pada hujung minggu memudahkan pengguna mencorakkan perbelanjaan mingguan dengan mengambil kira kos perbelanjaan petrol dari hujung minggu ke hujung minggu berbanding pertengahan minggu.

Bagi pihak kerajaan pula, kaedah itu membolehkan ia membuat pengiraan harga apungan pasaran minyak mentah pada hujung minggu berbanding pertengahan minggu. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: