Sunday, July 8, 2018

Wan Azizah tetap pertahan kerusi Presiden PKR

Muhammad Azizul Osman
MGF08072018_AIDILFITRI-DUN-KAJANG-05-681x454
Reaksi ceria dan spontan Dr Wan Azizah Wan Ismail (tengah) ketika hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2018 Dun Kajang sambil diiringi ADUN Kajang, Hee Loy Sian di Sg. Kantan, Kajang, Selangor. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM
 

KAJANG – Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tetap akan mempertahankan kerusi Presiden PKR yang disandang beliau sejak 1999.

Bagaimanapun, tambah beliau, terpulang kepada kepimpinan tertinggi parti itu sama ada mahu  membenarkan beliau bertanding atau tidak.

“Buat masa ini saya masih sandang kerusi Presiden, belum ada keputusan lagi samada saya nak bertanding atau tidak.

“Saya akan tetap bertanding kerusi Presiden tapi terpulang kepada kepimpinan tertinggi kerana suami saya adalah Ketua Umum, jawatan tertinggi daripada Presiden,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran ADUN Kajang, Hee Loy Sian.

Jumaat lalu, Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr Afif Bahardin, mencadangkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bertanding jawatan Presiden pada pemilihan parti pada Ogos depan.

Dakwa beliau, semua anggota PKR akan memberi sokongan penuh kepada Anwar jika bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu bertanding sebagai presiden parti.

Ekoran gesaan itu, Wan Azizah menafikan dakwaan PKR kini berdepan realiti dua kem, antara beliau dengan suaminya.

“Mana ada kem antara saya dan suami. Saya menafikan sekeras-kerasnya ada kem antara kami berdua. Kami satu pasukan. Tidak berbangkit.

Katanya, kepimpinan muda PKR itu boleh sahaja mencalonkan sesiapa sahaja untuk bertanding jawatan tertinggi itu pada pemilihan kali ini.

“Biarlah dia (Dr Afif) calonkan Anwar jadi Presiden. Apa salahnya negara demokrasi, dia boleh calonkan sesiapa pun. – MalaysiaGazette


No comments: