Monday, July 2, 2018

Umno harus akui kesilapan


Umno harus akui kesilapan
Azmin merasmikan pembukaan Pusat Khidmat Rakyat Dun Gombak Setia, hari ini.
 
 
GOMBAK - Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Dr Zahid Hamidi yang dilantik sebagai Presiden Umno yang baharu.

Azmin berkata, Zahid bukan sahaja berperanan dalam mengetuai Umno sebaliknya mempunyai tanggungjawab besar di parlimen.

"Saya mengucapkan tahniah kepada Zahid dan mengalu-alukan kehadiran Umno sebagai pembangkang dalam Dewan Rakyat.

"Peranan pembangkang penting sebagai 'check and balance' bagi memastikan kerajaan sediaada dapat  menjalankan tugas dengan telus dan penuh tanggungjawab," katanya selepas merasmikan pembukaan Pusat Khidmat Rakyat Dun Gombak Setia berhadapan padang Taman Berjaya, di sini,hari ini.

Terdahulu, beliau yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi hadir memeriahkan Majlis Silaturrahim Eidul Fitri peringkat Gombak dan Dun Gombak Setia.

Turut hadir Menteri Besar, Amirudin Shari dan Adun Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham.
Katanya, Umno perlu mengakui kesilapan dan bertindak secara kolektif membangunakan semula negara.

"Umno perlu mengakui kesilapan dan kecurangan yang telah dilakukan sebelum ini sehingga menyebabkan negara menanggung beban hutang negara yang besar.

"Beliau (Zahid) yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno juga  merupakan penyumbang kepada keadaan ekonomi semasa dan berharap dapat mengakui kesilapan ini serta memberikan perhatian untuk membangunkan Malaysia," katanya.

Pemilihan Umno semalam menyaksikan Zahid diangkat sebagai presiden parti bagi sesi 2018-,2021 menewaskan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah.

No comments: