Sunday, July 22, 2018

Tingkatkan mutu pendidikan, kemajmukan sekolah kebangsaan



Dalam satu majlis rumah terbuka Aidilfitri di sebuah pekan kecil di Negeri Sembilan, seorang guru memberitahu saya sesuatu yang menyebabkan saya berfikir panjang mengenai masa depan pendidikan kebangsaan, khususnya sekolah kebangsaan.

Guru itu memberitahu saya bahawa sekolah kebangsaan bukan lagi pilihan tunggal ibu bapa Melayu. Di banyak tempat, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) menjadi pilihan utama.

Dia memberitahu, semakin ramai ibu bapa Melayu tidak berasa apa-apa lagi apabila memilih untuk menghantar anak-anak mereka ke SJKC.

Maksudnya, bagi mereka SJKC sudah menjadi pilihan natural dan biasa untuk anak-anak mereka mendapat pendidikan yang lebih baik dan masa depan yang lebih terjamin.

Secara rambang saya tahu semakin ramai murid Melayu dan India kini belajar di SJKC peringkat rendah dan menengah. Tetapi saya tidak menyangka yang aliran ini sudah begitu menular.

Saya membuat sedikit carian bagi mengesahkan dakwaan ini dan apa yang saya temui jauh lebih memeranjatkan daripada jangkaan asas saya.

Misalnya, hasil kajian Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan yang dilaporkan pada tahun 2016 mendapati SJKC berkemungkinan menjadi sekolah arus perdana dan lebih majmuk dalam masa kurang sedekad.

Salah seorang bekas ahli majlis tersebut, Prof Datuk Teo Kok Seong, berkata pendaftaran pelajar bukan Melayu di sekolah kebangsaan hanya naik empat peratus sedangkan bagi SJKC bilangannya meningkat 18 peratus.

Teo dipetik sebagai berkata, bilangan ini dijangka meningkat setiap tahun dan sekolah vernakular mungkin menjadi sekolah aliran utama dalam tempoh 10 tahun akan datang apabila lebih ramai ibu bapa bukan Cina tidak mendaftarkan anak-anak mereka di sekolah kebangsaan.

Menurut laporan itu, antara sebab ibu bapa, khususnya ibu bapa Melayu menghantar anak-anak mereka ke SJKC adalah kebimbangan bahawa sekolah kebangsaan semakin tidak mencerminkan kepelbagaian bangsa dan agama.

Maksudnya, semakin ramai ibu bapa Melayu mahu anak-anak mereka belajar dalam persekitaran majmuk.

Jika trend ini berterusan, matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Kementerian Pendidikan 2013-2025 untuk menarik lebih ramai pelajar Cina dan India masuk sekolah kebangsaan mungkin gagal.

Kajian tersebut mendapati lebih banyak ibu bapa merancang mendaftarkan anak-anak mereka di sekolah jenis kebangsaan atau swasta.

Saya yakin Menteri Pendidikan Pakatan Harapan, Dr Maszlee Malik, lebih daripada faham dilema ini dan akan menjadikannya perkara penting dalam agenda beliau.

Kerajaan baru tidak lagi boleh bercakap dan berkhutbah seperti kerajaan lama mengenai pendaulatan pendidikan kebangsaan sekiranya pemikiran dan sikap masyarakat bercanggah dengan dasar itu.

Kita sepatutnya bangga dan menyokong sikap ibu bapa Melayu yang mahukan pendidikan bermutu untuk anak-anak mereka. Yang menjadi masalah adalah mereka tidak lagi menganggap pendidikan kebangsaan sebagai bermutu.

Bukan kesalahan ibu bapa jika mereka kini membuat kesimpulan bahawa mutu pendidikan SJKC lebih tinggi berbanding sekolah kebangsaan dan sekali gus menawarkan masa depan yang lebih cerah bagi anak-anak mereka.

Pemikiran ini tidak salah. Memang betul bahawa lulusan SJKC mempunyai jaminan dan peluang pekerjaan yang lebih baik kerana selain menguasai bahasa ibunda dan Inggeris, mereka juga menguasai bahasa Mandarin.


Sistem pendidikan kebangsaan mesti dipastikan menjadi pilihan seluruh masyarakat majmuk di negara ini. .

Kita tidak dapat lari daripada hakikat bahawa orang Cina masih menguasai ekonomi negara dan kemunculan China sebagai kuasa ekonomi dunia akan menjadikan penguasaan Mandarin satu kelebihan.

Bagaimanapun, aliran ini jika tidak dikawal dan diselaraskan, boleh memberi kesan yang sangat buruk. Sudah pun ada SJKC yang menjadi sekolah Melayu apabila peratusan murid Melayu lebih ramai daripada murid Cina dan India.

Ini tentulah tidak seperti yang diharapkan oleh ibu bapa Melayu apabila mereka mendaftarkan anak mereka di SJKC.

Kita tidak mahu ungkapan P Ramlee dalam lagunya “walhasil balik asal itu pasal tak hasil” berlaku kepada sistem pendidikan kita.

Apa yang dikejar oleh ibu bapa Melayu apabila menghantar anak-anak mereka di SJKC tidak dapat dan apa yang dikendong oleh sistem pendidikan kebangsaan pula berciciran.

Keadaan paling unggul adalah menaikkan mutu pendidikan dan kemajmukan sekolah kebangsaan agar setaraf atau lebih baik daripada SJKC dan sekolah-sekolah elit.

Emosi dan sentimen kaum yang sempit tidak akan membawa kita ke mana-mana. Kita wajib berfikir dan bertindak secara rasional dan praktikal kalau mahu sistem pendidikan kebangsaan menjadi sistem pilihan. Wallahuaklam.

* Penulis ialah Tokoh Wartawan Negara.

No comments: