Thursday, July 12, 2018

Tiga serangkai sektor judisiary resahkan umat Islam

Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan
 
 
KUALA LUMPUR - Pas Pusat melahirkan keresahan susulan pelantikan tiga figura mengepalai sektor judisiary di negara ini.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan mempersoalkan apakah masih ada harapan rakyat khasnya umat Islam untuk melihat masa depan Islam terus terbela di bumi Malaysia ini khasnya dalam hal yang melibatkan undang-undang.

Dengan merujuk pelantikan Datuk Liew Vui Keong sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (bahagian hal ehwal Undang-Undang); Tommy Thomas sebagai Peguam Negara dan Tan Sri Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara, Pas menyifatkan tiga serangkai sangat membimbangkan umat Islam.

"Lebih membimbangkan apabila rekod penghakiman Ketua Hakim Negara yang baharu sebelum ini, dilihat mempunyai corak penghakiman yang tidak menyebelahi Islam.

“Malangnya kerajaan Pakatan Harapan memekakkan telinga dari mendengar keluhan dan teguran umat Islam serta tergamak membutakan mata dari melihat bagaimana reaksi bimbang umat Islam terhadap perkembangan ini," katanya.

Beliau berkata, dengan pelantikan ketiga-tiganya,  kerajaan Harapan sekali lagi berjaya pecah rekod perlantikan Ketua Hakim Negara dari kalangan bukan Islam sejak pertama kali ia diperkenalkan selepas pembentukan Malaysia 1963 dengan nama awalnya Lord Presiden.

Menurutnya, hanya Lord Presiden yang pertama terdiri dari kalangan bukan Islam iaitu Tun Sir James Beveridge Thomson.

Tambah Nasrudin, reaksi bimbang dan teguran umat Islam telah jelas kedengaran sejak  perlantikan Peguam Negara.

"Pelantikan Ketua Hakim Negara pula bakal mengundang petaka buat umat Islam,"katanya.

Selain itu beliau berkata, langkah kerajaan  juga dilihat tergesa-gesa dan tergopoh-gapah.

"Entah apa yang dikejar. Perletakkan jawatan Tun Md Raus Sharif hanya berkuatkuasa pada 31 Julai sedangkan pelantikan Tan Sri Richard Malanjum semalam menjadikan kini Malaysia mempunyai dua orang Ketua Hakim Negara sebelum berakhir 31 Julai ini,"katanya.

Beliau turut menyatakan persoalan kemungkinan,  Raus didakwa dipaksa untuk membuat surat perletakkan jawatan yang baru berkuatkuasa serta merta.

"Jika masih kekal perletakkan jawatannya efektif pada 31 Julai, maka apakah ini suatu langkah yang berpelembagaan?

“Apakah ia juga bermakna sudah ada campurtangan kerajaan dalam sistem judiciary," soalanya.

Beliau turut mempersoalkan apakah lagi episod  yang bakal disaksikan oleh umat Islam selepas ini.

"Sudahlah Islam terumbang ambing di zaman kerajan BN dahulu, ternyata kini perubahan yang dilaungkan itu rupanya ke arah yang lebih teruk dan buruk.

“Apakah situasi ini meletakkan umat Islam terlepas dari mulut harimau lalu dilibas ekor buaya?," ujarnya.

No comments: