Thursday, July 5, 2018

Pilihan raya k'jaan tempatan apabila masa sesuai, kata menteri wilayah

 
   
Menteri wilayah persekutuan yang baru dilantik Khalid Samad berikrar untuk mengadakan pilihan raya datuk bandar di Kuala Lumpur apabila tiba masa yang sesuai.

"Ini sesuatu yang kita akan buat," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat anggota parlimen di Kuala Lumpur.

Menurut Khalid, menunggu masa dan situasi yang sesuai tidak akan memberi mana-mana parti sebarang sebab untuk mempersoalkan pilihan raya kerajaan tempatan itu.

Pada 26 Mei lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berjanji bahawa pilihan raya tempatan akan diadakan dalam tempoh tiga tahun.

Kementerian Zuraida bertanggungjawab ke atas majlis perbandaran seluruh negara, sementara kementerian Khalid memantau tiga wilayah persekutuan - Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan.

Khalid juga berkata bahawa pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan perlu dilihat dari segi holistik.

"Kita perlu pastikan bahawa apabila kita laksanakan, kita mampu laksanakannya tanpa menyebabkan salah faham.

"Ia bukannya sesuatu yang kita tak nak buat, tapi ini sesuatu yang kita akan buat apabila masa dan situasinya sesuai, kerana ada banyak isu yang boleh menyebabkannya menjadi isu sensitif di dalam masyarakat kita," katanya.

Sebagai contoh, katanya, pelantikan peguam negara Tommy Thomas menyebabkan beberapa pihak menanggapinya daripada isu perkauman.

"Kita mahu rakyat faham kenapa ia perlu dilakukan adalah kerana ia merupakan sebahagian daripada struktur demokrasi dalam masyrakat demokratik," katanya.

Ditanya tentang Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Amin Nordin Abd Aziz ketika ini, Khali menjelaskan terdapat kelemahan.

"Sentiasa ada kelemahan, tak ada sesiapa yang sempurna," katanya.

Kerajaan tidak membuat apa-apa keputusan untuk menggantikan datuk bandar ketika ini, katanya.

"Kita akan bincangkan perkara ini dalam mesyuarat tapi buat masa ini tidak ada keputusan," tambahnya.

Pilihan raya kerajaan tempatan di Kuala Lumpur diadakan pada Februari 1952 yang menyaksikan 12 daripada 18 penasihat dalam Majlis Perbandaran Kuala Lumpur dipilih.

Kali terakhir pilihan raya kerajaan tempatan diadakan adalah pada tahun 1964.

No comments: