KUALA LUMPUR – Pas menyifatkan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang dikeluarkan oleh Malaysian Independent Chinese Secondary School (MICSS) sebagai mensabotaj strategi pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Akta Pendidikan 1996.
Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, pelaksanaan sistem tersebut sama ada daripada aspek piawaian, silibus dan bahasa bercanggah dengan status quo sistem pendidikan sedia ada di negara ini.
Menurut beliau, dua strategi utama untuk mencapai matlamat Dasar Pendidikan Kebangsaan adalah menjadikan bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama di institusi pendidikan negara.
“Pengikitirafan UEC seolah-olah memberi satu autonomi yang sangat luas dalam bidang pendidikan untuk tidak patuh kepada dasar dan akta sedia ada, sebaliknya berorientasikan negara Taiwan dan China.
“Selama ini, Dong Zong yang agresif menuntut pengiktirafan UEC enggan untuk berkompromi dengan syarat-syarat pematuhan yang telah digariskan oleh Kementerian Pendidikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kurikulum yang diwujudkan mestilah selaras dan berorientasikan Malaysia bagi semua jenis sekolah.
Justeru katanya, bahasa Kebangsaan yang dirujuk dalam Akta Pendidikan 1996 ditafsirkan sebagai Bahasa Melayu sepertimana yang telah termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
Begitu juga Seksyen 74 Akta Pendidikan 1996 dengan jelas mengarahkan semua institusi pendidikan swasta mematuhi kehendak Kurikulum Kebangsaan dan menyediakan murid-murid bagi peperiksaan yang telah diselaraskan di peringkat negara.
Dalam perkembangan sama, beliau ternyata kecewa dengan tindakan yang dilakukan DAP dalam isu tersebut yang didakwa tidak menghormati suara rakyat.
“Sekarang DAP melalui Timbalan Menteri Pendidikan sewenang-wenangnya mahu ‘pengiktirafan UEC’ dilakukan hanya dilakukan di peringkat Kabinet sehingga mengabaikan suara rakyat dalam kalangan ahli akademik, profesional, NGO dan parti politik yang membantah pengiktirafan ini.
“PAS mahu kerajaan menghentikan polemik ini kerana tindakan mengiktiraf UEC akan merenggangkan semangat perpaduan dan keharmonian kaum di Malaysia,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette
No comments:
Post a Comment