Tuesday, July 10, 2018

Pengguna layari laman web lucah dipantau KKMM dan polis

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Pengguna Internet yang melayari laman sesawang lucah akan dipantau melalui kerjasama antara Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam mengesahkan perkara ini, Timbalan Menteri KKMM Eddin Syazlee Shith berkata laman sesawang terbabit akan turut disekat dalam tempoh terdekat menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Selain laman sesawang berunsurkan lucah, pemantauan web lain termasuk yang berunsurkan perjudian akan turut dikaji,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Konsert Kenangan Lalu Mestika D’Klasik sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2018 di Angkasapuri di sini, hari ini.

“Memang menjadi satu perkara yang diperjuangkan kerajaan sekarang untuk menyekat dan mengekang laman web yang tidak berfaedah dan bukan-bukan,” katanya.

Media semalam melaporkan bahawa satu unit baharu PDRM, Unit Siasatan Jenayah Siber (Internet) Terhadap Kanak-kanak Malaysia (Micac) ditubuhkan dengan kemampuan memantau mereka yang melayari kandungan lucah di alam siber, terutamanya pornografi kanak-kanak.

Dalam membuat pemantauan, unit berkenaan yang dilengkapi peralatan canggih juga akan mengesan kekerapan dan jenis kandungan lucah yang dimuat naik serta dimuat turun pengguna berkenaan bagi tujuan pendakwaan nanti.

Sementara itu, dalam ucapannya Eddin Syazlee berkata beliau yakin usaha mentransformasi RTM yang sedang dilaksanakan akan mengukuhkan lagi entiti itu sebagai sebagai penyiar rasmi kerajaan sekali gus meningkatkan daya saing dan produktiviti warga kerjanya.

“RTM sebagai organisasi penyiaran yang berusia 72 tahun masih kekal relevan dan mampu berkembang ke tahap yang Iebih cemerlang. Saya amat yakin transformasi ini akan mengukuhkan lagi kedudukan RTM katanya.

Pada majlis itu, tiga pegawai pengurusan RTM yang bersara baru-baru ini turut diraikan.– Bernama

No comments: