Wednesday, July 4, 2018

PDRM hantar pegawai ke Indonesia bawa pulang Jamal

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menghantar pegawainya ke Indonesia hari ini bagi proses ektradisi Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos ke Kuala Lumpur.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya sudah mendapat kerjasama penuh daripada pihak berkuasa Indonesia untuk membawa pulang Jamal bagi menyelesaikan siasatan berkenaan dakwaan yang dihadapinya.

“Dua hingga tiga orang pegawai daripada Jabatan Siasatan Jenayah Selangor akan ke sana (Indonesia) dan mungkin proses ini dijangka mengambil masa dua atau tiga hari lagi,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, di sini, hari ini.

Jamal, 48, ditahan Polis Negara Republik Indonesia (POLRI) ketika sedang menggunting rambut di sebuah kedai gunting rambut di Jakarta Selatan pada Isnin lepas, jam 6.15 petang (waktu Malaysia).

Bekas calon ketua pemuda UMNO itu didakwa atas pertuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan botol arak menggunakan penukul besi di hadapan pintu pagar keluar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di Shah Alam, Selangor pada 5 Oktober lepas serta turut disiasat atas beberapa kes lagi termasuk mengikut Seksyen 34 Akta Senjata 1960.

Sementara itu, Mohamad Fuzi turut mengesahkan bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman kini berada di United Kingdom.

“Kami harap beliau mematuhi kehendak PDRM dengan pulang ke negara bagi menyelesaikan proses siasatan melibatkannya,” katanya.

Musa yang juga Pengerusi Barisan Nasional Sabah dilaporkan telah ke luar negara selepas didakwa melakukan intimidasi jenayah terhadap Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Beliau diminta untuk pulang ke negara bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan intimidasi jenayah.

No comments: