Monday, July 2, 2018

Op Harapan: Lebih 1,000 anggota polis ronda bandar besar

PDRM menempatkan lebih 1,000 anggotanya di 23 kawasan tumpuan orang ramai di seluruh negara
PDRM menempatkan lebih 1,000 anggotanya di 23 kawasan tumpuan orang ramai di seluruh negara
 
 
PETALING JAYA - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menempatkan lebih 1,000 anggotanya di 23 kawasan tumpuan orang ramai di seluruh negara dalam Op Harapan bagi melaksanakan aktiviti pencegahan jenayah.

Operasi yang julung kali diadakan itu turut melibatkan lima unit PDRM iaitu Unit Pergerakan Udara, Unit Berkuda, Pasukan Polis Marin, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata Op Harapan merupakan inisiatif PDRM dalam mengurangkan kadar jenayah jalanan.

“Mereka (anggota) akan ditempatkan di bandar-bandar besar seperti di Damansara, Kajang, Ipoh, serta Bandar Melaka yang menjadi tumpuan orang ramai dan akan melakukan rondaan berjalan kaki serta beramah mesra dengan penduduk setempat. Ia bertujuan untuk menampakkan kehadiran anggota polis di lapangan.

Selain itu, kita turut mengerakkan Unit Udara serta Unit Berkuda dalam melakukan rondaan berkala di kawasan tumpuan ini. Kita mahu masyarakat merasa selamat ketika berada di kawasan terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Op Harapan di sebuah pusat membeli belah di sini, hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Selangor Datuk Seri Mazlan Mansor.

Menurut Zulkifli, operasi berkenaan dilaksanakan selama sebulan sebagai tempoh percubaan sebelum ia dilanjutkan dengan meliputi kawasan rondaan yang lebih luas.         

Sementara itu empat daerah di Sarawak, iaitu Kuching, Padawan, Sibu dan Miri terlibat dalam Op Harapan yang bermula serentak di seluruh negara hari ini.

Di Kuching majlis pelancaran operasi berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching  (Operasi) Supt Abang Junaidi Abang Anuar.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis pelancaran operasi itu di Kuching hari ini, Abang Junaidi berkata di Kuching operasi berkenaan ditumpukan di dua lokasi, iaitu di kawasan Segi Tiga Emas (kawasan Padungan dan Bukit Mata) dan Metro City di Petra Jaya.

Sementara itu di MIRI,  polis menyasarkan pengurangan kadar kes jenayah terutama sekali kes pecah rumah dan curi kenderaan untuk bandar raya Miri dengan melancarkan “Op Harapan” mulai hari ini.

Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Miri DSP Rosley Hobden berkata, buat permulaan pada fasa pertama kawasan perumahan Permyjaya akan menjadi  tumpuan operasi rondaan operasi itu kerana terdapat peningkatan dalam kes yang berkenaan sebelum operasi ini diperluaskan ke tempat lain.

“Op Harapan ini adalah ilham Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin bertujuan menurunkan kadar jenayah di kawasan dikenal pasti indeks jenayah meningkat dan untuk  Miri  kawasan  Permyjaya  menunjukkan  statistik  peningkatan dari tahun lepas,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Op Harapan di Taman Ceria Permyjaya hari ini. -Bernama

No comments: