THE MALAYSIAN TIMES
KUANTAN: Nama-nama calon untuk jawatan Speaker Dewan Rakyat sudahpun disenarai pendek dan akan diputuskan barisan pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) dalam tempoh terdekat sebelum sesi Parlimen bersidang pada 16 Julai ini.
Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah berkata setiap parti komponen telah mencadangkan nama calon masing-masing dan ia sedang dibincangkan dengan teliti dan akan menjalani proses undian sebelum diputuskan.
“Speaker (Dewan Rakyat) akan dilantik pagi Isnin depan, sebelum semua ahli Dewan mengangkat sumpah, lazimnnya Speaker Dewan Rakyat dan dua timbalannya adalah kombinasi dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak…Melayu dan bukan Melayu
“Bagi menepati manifesto pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), jawatan ini (Speaker) adalah dalam kalangan anggota Dewan Rakyat dan bukan dari Dewan Negara (Senator).
“Ini kerana kita mahu mereka ini mempunyai rasa tanggungjawab terhadap anggota Dewan Rakyat dan dapat menjalankan tugas dengan adil serta saksama,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Raya Anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Pelindung, dekat sini, semalam.
Majlis turut dihadiri oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Lee Chean Chung.
Saifuddin, yang juga Menteri Luar, berkata, mereka yang terpilih nanti perlu meletakkan jawatan dalam parti untuk memastikan mereka dapat melaksanakan jawatan yang telah diamanahkan itu dengan lebih telus.
Dalam masa yang sama, katanya, pihak pembangkang juga terbuka untuk menghantar nama calon yang difikirkan sesuai untuk dipertimbangkan.
Ditanya mengenai kemungkinan PH memilih bekas Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini Tan Sri Dr Rais Yatim sebagai Speaker Dewan Rakyat yang baharu, Saifuddin enggan mengulas lanjut namun mengulangi bahawa jawatan itu adalah untuk ahli Dewan Rakyat.
Sebelum ini nama Rais dan Anggota Parlimen Segambut, Hannah Yeoh disebut-sebut sebagai antara calon Speaker Dewan Rakyat dan Timbalan Speaker.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin turut mengesahkan Duta Malaysia ke Vatican, Tan Sri Bernard Dompok, telahpun kembali ke tanah air selepas diarah pulang pada 30 Jun lalu.
“Perkara dah selesaikan oleh pegawai (Kementerian Luar Negeri)…setakat ini melibatkan dua orang sahaja, yang di Vatican dah kembali.
“Kita kini sedang mengenal pasti calon yang sesuai untuk menggantikan mereka,” katanya.
Sebelum ini, dua duta Malaysia yang merupakan lantikan politik kerajaan pimpinan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini diberikan notis pengosongan jawatan mereka.
Mereka ialah Duta ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dan Dompok.
No comments:
Post a Comment