Wednesday, July 25, 2018

Modal kempen calon BN kurang ‘kenegerian’

THE MALAYSIAN TIMES
 

SHAH ALAM: Calon PKR Mohd Zawawi Ahmah Mughni menyifatkan modal kempen Datuk Lokman Noor Adam ‘kurang kenegerian’ kerana dilihat lebih mengetengahkan isu nasional bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada 4 Ogos ini.

Beliau berkata calon BN itu sepatutnya faham bahawa PRK DUN adalah berkaitan negeri dan nasib serta masalah rakyat setempat yang harus diambil kira.

“Disebabkan itu, keutamaan kempen saya adalah untuk melihat kepada isu tempatan yang libatkan perkara asas seperti infrastruktur serta pembangunan modal insan supaya rakyat dapat kehidupan lebih sejahtera dan selamat,” katanya dalam satu sidang media, di sini hari ini.

Mohd Zawawi berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media yang mengatakan kempen Lokman Noor lebih tertumpu kepada isu nasional seperti dakwaan penutupan pusat tahfiz, penjelasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kritikan terhadap manifesto Pakatan Harapan.

Sebagai anak tempatan, beliau berkata jika diberi mandat sebagai wakil rakyat di Sungai Kandis kelak, fokus utama yang akan diperjuangkan adalah membentuk satu komuniti selamat menerusi program berkaitan seperti mana yang dilaksanakan di kebanyakan kawasan di negara-negara maju.–Bernama

No comments: