Tidak lengkap melancong ke negeri ini jika tidak merasai pengalaman menaiki feri berusia puluhan tahun yang menghubungkan antara Seberang Perai dan kawasan pulau.
Walaupun ramai pelancong asing dan tempatan sering berkunjung ke situ, tetapi tidak ramai yang menyedari akan kewujudan peristiwa sejarah berdekatan kawasan tersebut.
Bagi masyarakat setempat mungkin ada sebahagiannya yang sudah sedia maklum mengenai sejarah yang tersingkap di kawasan itu.
Namun bagi pelancong luar, mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa di situ terdapat satu tempat yang dikenali sebagai Meriam Timbul.
Secara umumnya, nama Meriam Timbul terhasil akibat daripada peristiwa perang Kedah–Inggeris yang berlaku sekitar 1791.
Tidak ramai yang menyedari akan kewujudan sejarah di situ dek kerana pembangunan yang semakin rancak di sekitarnya.
Pembangunan yang jelas kelihatan adalah Penang Sentral yang menempatkan kemudahan stesen kereta api, bas, feri dan teksi.
Tidak jauh dari situ juga terdapat sebuah kawasan perumahan, sekolah, universiti, bank dan pusat komersial yang semakin membangun.
Peperangan Kedah-Inggeris
Berdasarkan dokumentari Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), satu sejarah besar berlaku di Seberang Perai apabila Sultan Kedah menyiapkan angkatan perangnya untuk melancarkan tindakan ketenteraan ke atas Syarikat Hindia Timur Inggeris di Kuala Perai.Peristiwa ini merupakan satu catatan sejarah apabila armada laut, Francis Light yang telah berlayar dari Tanjung Penaga melalui laut berhampiran kampung nelayan Balai Pukat tiba di kawasan berhampiran muara Sungai Perai.
Mereka kemudiannya melancarkan serangan hendap bedilan meriam ke arah tentera Kedah yang pada ketika itu sedang bergerak menyusuri laluan darat.
Pada awalnya, Sultan Kedah yang membawa angkatan perangnya dari Kota Kuala Kedah ke Seberang Perai sebagai persiapan menyusun strategi untuk menyerang kapal Francis Light dari arah Sungai Perai.
Namun Francis Light dikatakan telah mengetahui rancangan itu lebih awal melalui seorang pembelot di pihak Kedah yang telah membocorkan rahsia.
Rancangan Kedah itu bagaimanapun berjaya dipatahkan dengan serangan hendap yang dilancarkan oleh Francis Light yang dikatakan lebih awal bersiap sedia menunggu di perairan berdekatan Kuala Perai.
Ketika tentera Kedah diserang hendap, satu daripada beberapa meriam yang dibawa itu dikatakan telah terpelanting dan tercampak di tepi pantai.
Manakala persiapan yang lainnya juga turut musnah termasuk sebahagian askarnya yang terkorban akibat bedilan meriam dari tentera Inggeris.
Timbalan Presiden Persatuan Sejarah dan Warisan Pulau Pinang (Perwaris), Dahalan Fazil, mengesahkan perkara itu kepada Sinar Harian.
“Punca berlakunya peperangan tersebut adalah disebabkan oleh kegagalan Francis Light yang pada ketika itu telah memungkiri janji,” katanya.
Pengkaji sejarah tempatan itu berkata, perjanjian yang dimeterai itu pada awalnya adalah untuk melindungi Kedah daripada serangan Siam kira-kira lebih 200 tahun lalu.
Beberapa lama kemudian, sebuah meriam ditemui dan dikatakan timbul sewaktu air pasang di kawasan berdekatan Kuala Perai. Dek peristiwa itulah nama Meriam Timbul diambil.
No comments:
Post a Comment