Wednesday, July 25, 2018

Kompleks sukan khusus untuk wanita

THE MALAYSIAN TIMES
 

PUCHONG: Negara bakal mempunyai sebuah kompleks sukan khusus untuk kaum hawa, yang dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk taman penjagaan kanak-kanak, spa dan salon kecantikan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin berkata kompleks mesra wanita itu dijangka siap dalam tempoh tiga tahun lagi.

“Kita berpandangan terdapat kepentingan untuk kita membina kemudahan ini kerana wanita negara ini memerlukan tempat riadah yang membolehkan mereka berasa bebas dan tidak terkongkong dengan pelbagai kekangan,” katanya ketika meninjau satu daripada tapak cadangan kompleks itu di sini, pagi ini.

Tapak berkeluasan 6.07 hektar itu antara empat lokasi (semuanya di Selangor) yang dicadangkan bagi membina kemudahan itu.

Zuraida berkata selain mempunyai ciri kemudahan untuk menganjurkan sukan wanita bertaraf antarabangsa, pembinaan kompleks itu akan mengambil kira keperluan pelancong wanita yang mahu beriadah.

Di samping itu, ia akan memenuhi keperluan golongan kurang upaya dan kanak-kanak yang mengiringi kaum hawa yang datang ke situ.

Mengenai perkembangan lain, Zuraida berkata kementerian dalam proses menyediakan Dasar Perumahan Awam KPKT yang dijangka siap September ini merangkumi keperluan pembinaan lebih banyak rumah mampu milik bagi rakyat.

“Kita juga akan berhubung dengan semua Kerajaan Negeri untuk menyediakan lebih banyak tanah yang mempunyai jaringan kemudahan untuk membina lebih banyak rumah mampu milik dengan harga paling rendah untuk golongan berpendapatan rendah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya juga akan memastikan harga rumah berada pada tahap terkawal walaupun selepas pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).– Bernama

No comments: