Sunday, July 8, 2018

Kerajaan buat pilihan tepat lantik Mujahid Menteri Agama



Kerajaan buat pilihan tepat lantik Mujahid Menteri Agama


Semua pihak diminta menghormati suara rakyat yang memilih Pakatan Harapan (PH) menerajui negara dengan hasrat melakukan yang terbaik.

Penasihat panel syariah AMANAH Kelantan Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz berkata, tidak perlu pihak tertentu membuat desakan-desakan yang tidak munasabah terhadap kerajaan baru yang sedang menyusun langkah-langkah membina semula negara.

“Barisan Nasional (BN) telah diberi peluang 61 tahun mentadbir, akhirnya rakyat menilainya sebagai gagal.

Dalam Pilihan Raya Umum 14 (PRU14) baru-baru ini, rakyat memberi keyakinan kepada PH untuk membawa perubahan ke arah lebih baik,” katanya ketika menyampaikan kuliah Jumaat di Wisma Tok Guru Salor semalam.

Menurutnya, pembentukan kerajaan baru jelas berbeza dengan cara pentadbiran kerajaan BN yang telah membawa negara terjebak dalam pelbagai masalah.

“Kerajaan pimpinan Tun Mahathir kini jelas merombak asas-asas kerosakan negara dan meletakkannya di landasan yang betul.

“Rakyat kini bebas menegur kerajaan tanpa rasa takut dan pihak kerajaan pula kelihatan sedia berubah keputusan-keputusan semata-mata memenuhi kehendak orang ramai.

“Ini bukan perkara mudah dan sesuatu yang tidak mungkin berlaku di zaman pemerintahan BN,” katanya.

Menurutnya dalam konteks pembangunan Islam, penambahbaikan akan terus dibuat berdasarkan keperluan dan kesesuaian.

“Ada pihak yang mahu kita mencontohi negara seperti Arab Saudi, Mesir atau negara-negara Timur Tengah yang lain.

” Malangnya, jika kita perhati amalan-amalan Islam yang ada di negara-negara itu, ia jelas berbeza dengan apa yang ada dalam Al Quran dan As Sunnah,” katanya.


Nik Omar menyampaikan kuliah Jumaat di Wisma Tok Guru

Syukur katanya, pihak kerajaan membuat pilih tepat apabila melantik Datuk Dr. Mujahid Yusuf sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri yang akan mengendalikan hal ehwal Islam di negara ini.

“Bila kita meletakkan orang yang betul di atas insya Allah segalanya akan menjadi elok hingga ke bawah.

“Kita akan meneruskan segala yang baik yang telah jadi amalan selama ini dan akan menambahbaik apa yang masih kurang betul,” katanya.

Beliau yakin kerajaan baru yang kini bukan lagi dimonopoli oleh mana-mana parti akan mampu membuat perubahan berdasarkan kebenaran dan aspirasi rakyat.

No comments: