Prosiding kes terhadap anak guamnya baru sahaja
bermula dengan pertuduhan di mahkamah. Di bawah peruntukan prosedur
Seksyen 172A CPC, orang kena tuduh yang mengaku tidak bersalah akan
melalui proses seterusnya.
Kalau peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berasa pelik dengan pasukan pendakwaan yang menurutnya tidak bersedia untuk menyegerakan prosiding kes terhadap anak guamnya, kita sebenarnya berasa lebih pelik kenapa Shafee membuat kenyataan sedemikian.
Prosiding kes terhadap anak guamnya baru sahaja bermula dengan pertuduhan di mahkamah. Di bawah peruntukan prosedur sedia ada sekarang (Seksyen 172A Kanun Acara Jenayah (CPC), orang kena tuduh (OKT) yang mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan kepadanya selepas ini akan melalui proses seterusnya.
OKT yang diwakili peguam akan dikehendaki bertemu dengan pihak pendakwaan dalam prosiding pra-bicara yang dikenali dalam kalangan peguam sebagai “pre-trial conference” (PTC).
PTC hendaklah dijalankan dalam masa 30 hari dari tarikh pertuduhan atau dalam tempoh yang munasabah sebelum satu lagi prosiding yang dikenali sebagai pengurusan kes (case management).
Semasa PTC, peguam OKT boleh berbincang dengan pihak pendakwaan perkara seperti dinyatakan dalam Seksyen 172A(4) CPC, antaranya:
a. mengenal pasti isu fakta dan undang-undang;
b. mengecilkan isu yang dipertikaikan;
c. menjelaskan kedudukan kes masing-masing;
d. memastikan pematuhan Seksyen 51A CPC di mana pihak pendakwaan menyerahkan kepada pihak OKT dokumen seperti dinyatakan dalam seksyen tersebut; dan
e. apa-apa perkara lain yang boleh dipersetujui oleh kedua-dua pihak pendakwaan dan OKT yang boleh membantu mempercepatkan prosiding pendakwaan kes.
Berdasarkan peruntukan di atas, wajarkah kenyataan Syafee tentang pasukan pendakwaan tersebut, sedangkan sebagai peguam OKT beliau belum bertemu dengan pihak pendakwaan dalam PTC?
Barangkali wajar kalau kenyataannya itu dibuat selepas PTC, terutama jika pihak pendakwaan tidak menyerahkan dokumen seperti ketetapan Seksyen 51A CPC.
Berdasarkan laporan media, tampak seperti Hakim Mahkamah Tinggi sudah pun melakukan sebahagian daripada pengurusan kes di bawah Seksyen 172B CPC apabila hakim menetapkan tarikh perbicaraan selama 19 hari dari 18 Feb sehingga 28 Feb 2019, 4 Mac sehingga 8 Mac 2019, dan 11 Mac sehingga 15 Mac 2019.
Secara tertibnya, pengurusan kes dilakukan selepas PTC dan kebiasaannya dalam masa 60 hari dari tarikh pertuduhan.
Dalam kata yang mudah, anak guam Shafee sudah pun mendapat tarikh perbicaraan pada hari pertuduhan, bukan dalam masa 60 hari dari tarikh pertuduhan. Ini bukan sesuatu yang lazim dalam prosidng jenayah.
Barangkali Shafee boleh berasa terkilan kerana tarikh perbicaraan bukan dalam masa 90 hari dari tarikh pertuduhan seperti ketetapan Seksyen 172B(4) CPC.
Tetapi peguam juga memaklumi bahawa ketidakpatuhan Seskyen 172B(4) CPC tidak menjejaskan keabsahan pertuduhan ke atas OKT, mahupun prosiding pendakwaan ke atasnya.
Kita mahu “the rule of law to prevail”. Kenyataan seawal selesai prosiding pertuduhan tidak membantu ke arah itu.
Biarlah prosiding pendakwaan terhadap bekas perdana menteri berjalan menurut lunas undang-undang.
*Hafiz Hassan adalah pembaca FMT.
No comments:
Post a Comment