Friday, July 6, 2018

Jamal bermalam di Sungai Buloh


Jamal bermalam di Sungai Buloh
Jamal ketika dibawa ke mahkamah. -Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
 
 
AMPANG - Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos terpaksa akur untuk ‘menghuni’ Penjara Sungai Buloh sehingga selesai dibicarakan selepas Mahkamah Majistret Ampang hari ini tidak membenarkan dia diikat jamin.

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali menolak jaminan ke atas Jamal selepas mendengar hujahan  pihak pendakwaan susulan tindakan dia melarikan diri sebelum ini.

Dalam hujahannya, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Fatin Hadni Khairuddin berkata, tindakan Jamal menghilangkan diri menyusahkan banyak pihak sehingga polis terpaksa mendapatkan bantuan pihak berkuasa Indonesia mencari dan menahannya.

“Tindakan tertuduh adalah satu tindakan menghina mahkamah dan menyusahkan banyak pihak sedangkan tertuduh tahu dia dikehendaki polis,” katanya.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Jamal tidak mengaku lari dari jagaan polis ]

Bagaimanapun peguam Jamal, Izzat Zabir Sarif memohon jaminan diberikan ke atas anak guamnya dan mendakwa anak guamnya bukannya melarikan diri sebaliknya apa yang berlaku adakah disebabkan masalah komunikasi.

“Apa yang berlaku hanyalah salah faham kerana beliau menyangka urusan jaminan telah selesai,” katanya.

Dalam pada itu Jamal yang berada dikandang tertuduh turut merayu agar mahkamah membebaskannya dengan jaminan selain menegaskan dia tidak melarikan diri.

“Saya tidak melarikan diri. Pada hari kejadian saya pergi ke bank untuk urusan pengeluaran wang dan menyangka urusan jaminan telah selesai,” katanya yang turut mengakui dia bukan seorang yang berpengetahuan tentang undang-undang.

Jamal berkata, dia tidak menyerah diri kepada pihak berkuasa kerana rumahnya telah diserbu polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada keesokan harinya.

“Saya bimbang dengan pertukaran kerajaan dan berasa sangat tertekan apatah lagi dalam keadaan kesihatan yang belum pulih kerana sakit belakang,”katanya.

Tambahnya, susulan operasi yang dijalankan oleh pihak polis untuk mengesannya pada 27 Mei, dia terpaksa melarikan diri kerana takut dianiaya oleh kerajaan baru.

“Saya tidak akan ulangi kesilapan dan tidak mahu mengulangi pengalaman pahit sepanjang berada di Indonesia. Saya janji akan berhadapan apa sahaja pertuduhan untuk membersihkan nama saya sebagai pemimpin masyarakat di negara ini,” katanya.

Dalam pada itu Jamal berkata dia menghadapi kehidupan pahit dan mengerikan sepanjang sebulan berada di Indonesia.

“Saya tidak mahu ulanginya. Kehidupan amat sukar dan mengerikan dan ia merupakan pengalaman paling pahit dalam hidup saya,” katanya.

Sehubungan itu Jamal memohon jaminan diberikan tidak kira berapa jumlahnya malah dia rela melapor diri di balai polis setiap hari kerana mengalami sakit belakang.

Terdahulu Jamal yang memakai baju sejuk hitam kelihatan sedih selepas rayuan jaminannya ditolak.

Pihak media cuba mendapatkan komen Jamal mengenai kesukaran yang dihadapi ketika di Indonesia namun Jamal hanya sempat menyatakan “macam-macam perkara pahit,” sebelum dia dibawa polis ke lokap.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Jamal Yunos loloskan diri ke Indonesia? ]
[ ARTIKEL BERKAITAN: Lebih 40 jam, Jamal belum serah diri ]

No comments: