Tuesday, July 10, 2018

Hotel bajet minta pengecualian cukai pelancongan

 
Presiden Persatuan Hotel Bajet Malaysia berkata industri pelancongan mengalami kerugian sebanyak 20% sejak cukai itu berkuatkuasa September lalu.


Presiden MyBHA PK Leong berkata cukai pelancongan tidak adil kepada hotel bajet kerana kerajaan tidak membezakan mereka dengan hotel mewah.


PETALING JAYA: Pengusaha hotel bajet menggesa kerajaan mengecualikan cukai pelancongan yang diperkenalkan tahun lepas kepada pelanggan mereka.

Presiden Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA), PK Leong memberitahu FMT, industri itu mengalami penurunan keuntungan sebanyak 20% sejak cukai itu berkuatkuasa September lalu.

Beliau mengadu cukai itu tidak adil kepada hotel bajet kerana kerajaan tidak membezakan antara mereka dengan hotel mewah.

“Sama ada hotel bertaraf 5 bintang atau hotel tanpa bintang, terdapat kadar rata sebanyak RM10 bagi setiap bilik untuk semalaman yang perlu dibayar sebagai cukai pelancongan,” katanya. “Bagi hotel bajet, jika kadar harga bilik adalah RM50 semalaman, cukai akan menjadi 20% daripada kadar.
“Orang yang tinggal di hotel bukan bajet mungkin tidak rasa nilai RM10 itu, tetapi ia masih menjadi kos tambahan bagi bajet perjalanan seseorang.”

Beliau mendakwa ramai pelancong memilih sama ada menempah penginapan mereka melalui Airbnb atau tidak melawat Malaysia sama sekali kerana cukai itu.

“Cukai pelancongan tidak terpakai dalam tempahan Airbnb. Jadi akhirnya, semua perniagaan sewa penginapan akan ke Airbnb. RM10 menjadi perbezaan yang besar kepada pelancong yang membuat perjalanan bajet.”

Pengerusi Persatuan Hotel-hotel Malaysia (MAH), Samuel Cheah Swee Hee bersetuju cukai itu mempengaruhi industri pelancongan.

“Hotel bajet paling terjejas kerana RM10 agak tinggi untuk membayarnya,” katanya.

Beliau berkata ejen pelancongan juga tidak bersetuju dengan bayaran RM10 kepada pelanggan mereka bagi menyelamatkan perniagaan mereka. “Ini terutamanya berlaku dalam pakej perjalanan termasuk penginapan hotel.”

Dalam kenyataan sebelum ini, Cheah meminta kerajaan persekutuan mewujudkan peraturan baharu tentang hotel tanpa memerlukan lesen seperti yang dipromosi melalui AirBNB bagi mewujudkan medan persaingan yang adil untuk semua pihak.

Memandangkan Mohamaddin Ketapi mengambil alih jawatan sebagai Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, terdapat gesaan untuk menghapuskan cukai tersebut.

Presiden Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia, Datuk Tan Kok Liang berkata, pemansuhan itu akan menjadi jelas kerana menteri hanya perlu “mengeluarkan arahan”.

Tahun lepas, kerajaan memberitahu orang ramai hasil daripada cukai itu akan digunakan untuk mempromosikan pelancongan Malaysia serta untuk pemuliharaan infrastruktur.

Tan berkata orang ramai di sektor swasta berpendapat hasil daripada sumber lain cukup untuk tujuan itu jika kerajaan diuruskan dengan baik.

Minggu lepas, Mohamaddin berkata kerajaan akan mengkaji semula keperluan pelaksanaan cukai pelancongan dalam memastikan ia tidak menjejaskan kedatangan pelancong ke negara ini.

Katanya, cukai yang dikenakan pada kadar RM10 bagi setiap bilik satu malam itu perlu dikaji untuk mengetahui pendapat dan pandangan semua pihak terlibat, terutamanya pelancong sama ada kadar itu terlalu tinggi atau munasabah.

No comments: