Mahadevan Sivanu, 50, berkata, kesemua anaknya berusia 25, 24, 16, 14, 13, sembilan dan lapan tahun itu tidak mempunyai dokumen sah menyebabkan mereka berdepan pelbagai masalah terutamanya persekolahan.
“Semua anak saya ada 10 orang, tetapi tiga sudah diserahkan kepada saudara lain.
“Semua anak saya lahir di hospital di negara ini, cuma anak keenam lahir di rumah, buku klinik pun ada,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.
Mahadevan berkata, dia dan isteri, Kamala Govindasamy, 34, rakyat negara ini dan masing-masing mempunyai MyKad.
Katanya, dua anaknya Rubenthera, 25 dan Sathiya, 24, sukar memohon pekerjaan berikutan tidak mempunyai dokumen diri.
“Sampai sekarang mereka tak boleh bekerja di mana-mana. Sekarang anak-anak cuma bantu saya cari besi buruk untuk sara keluarga.
“Kalau anak-anak keluar pergi mana-mana pun susah, nanti polis tahan,” katanya ketika ditemui dalam kunjungan Dewan Himpunan Pemuda Pas (DHPP) Baling ke rumah keluarga berkenaan.
Menurutnya, anak lelakinya, Kaali, 9, tidak dapat meneruskan persekolahan kerana tidak ada sijil kelahiran.
“Dia sempat belajar di sebuah sekolah kerajaan, tetapi diberhentikan kerana masalah sijil kelahiran.
“Cuma anak bongsu (Kaliama, 8) yang masih dibenarkan bersekolah hasil perjanjian dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD),” katanya.
Mahadevan berkata, kerumitan menyediakan sijil kelahiran dan juga kad pengenalan timbul kerana masalah buta huruf.
“Sebelum ini lebih 10 tahun saya minta bantuan sebuah parti untuk selesaikan masalah anak-anak. Tetapi pemimpin parti tu seperti tak serius untuk bantu,” katanya.
Sementara itu, Ketua DHPP Baling, Devaraj Lecthumanan berkata, urusan sijil kelahiran dan MyKad tujuh beranak itu sedang diuruskan pihaknya.
“Kita telah berurusan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), kita jangka dalam tempoh sebulan masalah ini selesai.
“DHPP juga akan membantu Kaali untuk kembali ke sekolah,” katanya.
Beliau berkata, Jabatan Amal Malaysia akan turun padang memperbaiki kerosakan rumah Mahadevan yang daif supaya mereka dapat tinggal dengan lebih selesa.
No comments:
Post a Comment